Banduan Lari Ketika Rawatan Di Hospital Ditangkap Semula

KUALA LUMPUR – Banduan yang lari dari tahanan ketika dirawat di Hospital Kajang, Khamis lalu, berjaya diberkas semula.

 

Dia ditahan ketika bersembunyi di sebuah bangunan berhampiran tapak pembinaan di Jalan PJU 10/9 Sri Damansara, Petaling Jaya kira-kira 5.30 petang Jumaat.

 

Tangkapan dilakukan oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur selepas menerima maklumat awam dan risikan.

 

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, suspek cuba meloloskan diri dengan terjun dari tingkap bangunan berkenaan dan lari kira-kira 700 meter sebelum berjaya ditangkap.

 

“Berlaku sedikit pergelutan antara suspek dengan anggota polis dalam usahanya melarikan diri.

 

“Hasil soal siasat, polis menemui gari yang sudah dipotong dan sebuah mesin pemotong di rumah kongsi berhampiran,” katanya menerusi satu kenyataan.

 

Suspek dikenal pasti sebagai Chow Kim Liong, berusia 44 tahun dan dilaporkan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula 17 Mei lalu sehingga 4 Disember depan berhubung kes berkaitan dadah. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.