Pok Ya Rambo Bernazar Lari 500 Kilometer Jika TRW Menang Piala FA

KOTA BHARU – Peminat tegar The Red Warriors (TRW),  Zakaria Yusof, 65, bernazar untuk berlari sejauh 500 kilometer secara solo dari Stadium Nasional Bukit Jalil ke Stadium Sultan Muhammad IV jika pasukan kesayangannya itu menjuarai Piala FA, Sabtu ini.

 

Zakaria yang lebih dikenali dengan panggilan Pok Ya Rambo itu memberitahu, beliau yakin Kelantan akan memenangi Piala FA kali ini sekali gus dapat merealisasikan impiannya berlari bermula dari Bukit Jalil sehingga ke Kota Bharu.

 

Pok  Ya juga menegaskan umur bukan ukuran kepadanya dan optimis akan  menamatkan misi tersebut dalam tempoh tujuh hari dengan purata jarak larian sejauh 70 kilometer sehari.

 

“Impian tersebut timbul selepas Kelantan merangkul kejuaraan Piala Malaysia pada tahun 2010 lalu namun Pok Ya terpaksa lupakan buat seketika atas sebab-sebab tertentu,” katanya.

 

Pok Ya yang juga datuk kepada 13 cucu itu turut memberitahu, semangatnya untuk merealisasikan semula impian itu hadir selepas melihat kejayaan seorang penyokong Pahang, Abdul Majid Abdul Hamid, 58, atau Pak Majid yang bernazar berjalan kaki dari Kuantan ke Bukit Jalil.

 

Pak Majid merealisasikan impiannya selepas pasukan kesayangan merangkul kejuaraan Piala Malaysia pada tahun 2013 lalu.

 

Pok Ya memberitahu, sebelum ini juga beliau pernah bermimpi berlari dari Stadium Nasional Bukit Jalil ke Stadium Sultan Muhammad IV, sekali gus kali ini menguatkan lagi semangatnya untuk merealisasikan impian tersebut.

 

“Sekarang ini Pok Ya giat menjalankan persiapan dengan berlari sejauh 10 kilometer sehari bermula dari rumah ke Pantai Cahaya Bulan dan berpatah semula Kampung Kedai Buloh Tok Pucuk ini.

 

“Jika Pak Majid berjaya melakukannya, saya juga mampu untuk berbuat demikian. Jadi saya mahu membuktikan bahawa usia tidak menghalang kita untuk berjaya asalkan ada kesungguhan,” katanya.

 

Usaha gigihnya itu juga turut mendapat sokongan ahli keluarga terutamanya isteri, dari isteri Wan Moh Wan Abdullah, 52, dan enam anaknya.

 

“Saya rasa sangat bertuah kerana niat baik saya ini disokong ahli keluarga, jadi saya berharap pemain Kelantan dapat merealisasikan impian itu nanti dengan memberikan kemenangan yang sewajarnya,”katanya.

 

Pok Ya Rambo memberitahu, misinya itu akan bermula pada hari Ahad dan dia akan bermalam di Stadium Nasional Bukit Jalil sejurus tamat perlawanan akhir itu nanti. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.