Penyokong TRW Berkonvoi Ke Bukit Jalil

Kota Bahru – Kehangatan perlawanan akhir Piala FA kini semakin terasa apabila penyokong mula mendapatkan tiket serta merangka perjalanan untuk merasai sendiri kemeriahannya.

 

Malah Kelab Viva Myvi Group (VMG) Kelantan turut tidak melepaskan peluang dan mengaturkan konvoi ke Stadium Putra Bukit Jalil bagi menyaksikan pertembungan antara Kelantan dan Lions XII.

 

Sudah menjadi tradisi kelab itu setiap kali Kelantan melangkah ke final, Presidennya, Wan Azli Wan Mohamad, 38, berkata, itu adalah tanda sokongan mereka kepada pasukan The Red Warriors (TRW).

 

Katanya, sebanyak 30 kenderaan yang membabitkan seramai 100 ahli kelab VMG akan berkonvoi dari sini ke stadium pada jam 9 pagi esok.

 

“Kita tidak mahu ketinggalan untuk memberi sokongan kepada pasukan kebanggaan rakyat Kelantan, malah kami harap TRW berjaya membawa pulang Piala Malaysia untuk kali keempat selepas berjaya melakukannya pada 2010, 2012, dan 2013.

 

“Ini merupakan cari kami untuk menunjukkan sokongan kami kepada pasukan kesayangan dan sepanjang berkonvoi, kita juga galakkan ahli kelab mengibarkan bendera Kelantan sepanjang perjalanan,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post hari ini.

 

Beliau berkata, ahli kelab turut diminta mematuhi undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.

 

“Kita berharap ahli kelab dapat amalkan pemanduan berhemah demi menjaga keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

 

Sementara itu, Ahli VMG, Adi Nor Syazli Mohd Suhaimi, 21, berkata, kereta mereka juga akan dihias dengan tema TRW.

 

Katanya, hiasan itu adalah bagi memeriahkan suasana ketika berkonvoi.

 

“Tidak kisah jika berhabis sedikit demi pasukan kesayangan kerana dengan cara itu sedikit sebanyak ia menunjukkan semangat kami.

 

“Jika Kelantan menang piala, ia adalah hadiah paling bermakna bagi kami, tetapi jika tewas kami tetap bangga kerana bukan mudah untuk melayakkan diri ke peringkat akhir,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.