Sanggup Sembunyi Atas Tangki Air

SUBANG JAYA – Tindakan seorang warga Indonesia menyorok di atas tangki air gagal apabila kelibatnya dikesan Imigresen Putrajaya yang menjalankan operasi di sebuah flat di Subang Perdana, dekat sini, semalam.

Operasi diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen Putrajaya, Nik Shahanizam Ahmad bersama enam pegawai dan 40 anggota dijalankan atas maklumat awam kira-kira jam 1.05 pagi.

Menurut Nik Shahanizam, terdapat warga asing yang lain cuba melarikan diri dalam serbuan berkenaan dengan cuba memanjat balkoni ruang rumah di sebelah.

“Namun, tindakan mereka gagal berikutan anggotanya yang sudah bersedia dengan lebih awal,” katanya.

Beliau berkata, operasi ini berjaya menahan seramai 51 warga Indonesia berusia lingkungan 2 hingga 57 tahun.

Nik Shahanizam berkata, daripada jumlah tersebut, 26 adalah lelaki dewasa, 22 perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

Menurutnya, ini merupakan hasil serbuan di sembilan buah rumah di flat lima tingkat berkenaan.

“Semua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan direman 14 hari untuk siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tinggal lebih masa yang dibenarkan dan Seksyen 6(1)9c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tiada dokumen pengenalan diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.