Remaja Pusat Pemulihan Akhlak Larikan Diri

Ipoh – Tiga remaja bawah umur yang menjalani hukuman pemulihan akhlak di Asrama Akhlak Silibin, di sini, termasuk seorang yang membabitkan kes Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh, bertindak melarikan diri dari pusat terbabit lewat petang semalam.

Kesemua remaja berusia 16 dan 17 tahun itu, disedari tiada di pusat terbabit kira-kira jam 5.45 petang, dipercayai melarikan diri dengan memanjat pagar.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 10.45 malam tadi, melalui laporan ‎yang dibuat seorang Pembantu Pegawai Pembangunan Masyarakat yang bertugas di pusat terbabit.

“Tiga remaja yang melarikan diri itu adalah seorang berbangsa Sikh berusia 17 tahun yang menjalani hukuman di pusat pemulihan berkenaan kerana terbabit dalam kes Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala seorang lagi remaja Melayu yang juga berusia 17 tahun menjalani hukuman membabitkan kes‎ Seksyen 46( 2 )( bb ) Akta Kanak-Kanak (AKK) 2001 iaitu tahanan setahun kanak-kanak yang tidak terkawal.

“Seorang lagi remaja yang melarikan diri berbangsa India berusia 16 tahun dan menjalani hukuman kerana kesalahan‎‎ mengikut Seksyen 91( 1 )( e ), AKK 2001, perintah tempoh percubaan ke atas kanak-kanak ,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Menurutnya, ketiga-tiga remaja terbabit bagaimanapun berjaya ditangkap semula beberapa jam selepas mereka melarikan diri di alamat keluarga remaja yang terbabit dalam kes bunuh itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.