Rashid Sidek Diingatkan Supaya Jangan Terlalu Degil Dengan Menurunkan Liew Daren

JURULATIH perseorangan negara, Rashid Sidek diingatkan supaya jangan terlalu degil dengan menurunkan Liew Daren dalam perlawanan terakhir Kumpulan C Piala Thomas 2014 menentang Korea Selatan hari ini.

Bekas pakar beregu kebangsaan, Razif Sidek berkata, kedegilan adiknya yang manja dengan panggilan Adul itu bakal mengundang padah dan akan merugikan skuad negara yang dilihat mempunyai peluang untuk muncul juara Kumpulan C.

“Kita dah tahu Daren memang tak boleh beraksi tapi masih juga berdegil dan akhirnya apa hasil yang dapat? Sampai bila nak beri peluang kepada dia sedangkan kita dah tahu dia tak boleh nak memberikan aksi 100 peratus.

“Jangan asyik menggunakan perkataan mencuba, tindakan perlu dilakukan dan perubahan perlu dibuat. Kalau mereka berani menukar beregu, kenapa tidak perseorangan negara. Dan benda jelas di depan mata Daren tak mampu buat, jadi jangan terus melakukan kesilapan yang mengundang masalah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang turut mewakili suara rakyat Malaysia menasihatkan agar Rashid dan mana-mana jurulatih yang terlibat dalam kejohanan berprestij itu supaya jangan terlalu degil dan sebaiknya memikirkan langkah yang terbaik demi memastikan misi kali ini tercapai.

“Daren perlu ditukar kerana apa yang saya lihat dia memang tak boleh nak beri tumpuan kepada perlawanan, jadi tanggungjawab (kapten) tidak perlu dipikul lagi oleh Daren sedangkan kita tahu dia tak dapat nak beraksi dengan baik.

“Satu perkara perlu ingat, perlawanan esok (hari ini) penting dan Korea kuat dari segi beregu dan kita pula mempunyai peluang kutip mata daripada perseorangan negara. Cuba lihat sekiranya Malaysia terikat dua sama dengan Korea dan sudah pastinya penentu akan dilakukan oleh perseorangan keempat.

“Tak akan kita nak melihat peluang yang ada disia-siakan, jadi cara terbaik kita menurunkan pemain yang betul-betul mampu beraksi,” ujarnya.

Bagaimanapun Razif berkata, terpulanglah kepada barisan jurulatih untuk membuat keputusan namun sebagai bekas pemain. beliau mahu mengingatkan agar jangan menyesal di kemudian hari atas apa yang berlaku.

“Jika mereka (jurulatih) tak ambil serius hal ini dan masih ingin mencuba dan melihat prestasi Daren, silakan dan kita lihat hasil bagaimana nanti.

“Tapi saya ingatkan jangan bila dah tewas, baru nak menyesal dan menuding jari ke mana-mana pihak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.