Proses Pengundian Awal PRK Bukit Gelugor Berjalan Lancar

GEORGE TOWN 21 Mei – Proses pengundian awal untuk 148 pengundi berdaftar bagi pilihan raya kecil (PRK) Bukit Gelugor yang berlangsung di empat saluran mengundi hari ini berjalan lancar.

Empat pusat pengundian awal itu ialah di Tabika Kemas Markas Gerakan Marin Wilayah Satu di Batu Uban, Bilik Maklumat Balai Polis Air Itam, Bilik Maklumat Balai Polis Bandar Baharu dan Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Pinang di Gelugor.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata sebanyak 40 pengundi atau 27 peratus telah mengundi sejak pengundian bermula 8 pagi.

Beliau melawat pusat pengundian di Balai Polis Air Itam di sini bersama ahli SPR Datuk Christopher Wan Soo Kee.

Beliau memberitahu pemberita bahawa perjalanan kempen di kawasan itu setakat ini berlangsung dengan baik dan menasihatkan pengundi supaya keluar mengundi secara berperingkat pada hari pengundian Ahad ini.

“Saya nasihatkan kepada pengundi untuk keluar secara berperingkat (bagi mengelak kesesakan) terutama di pusat mengundi yang banyak saluran seperti di SMK Air Itam iaitu 28 saluran,” katanya.

Abdul Ghani turut mengingatkan parti-parti yang bertanding supaya mengikut peraturan kempen pilihan raya dan tidak mengganggu pengundi pada hari pengundian.

Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi turut memantau proses pengundian awal di Balai Polis Air Itam yang mempunyai 52 pengundi berdaftar.

Kawasan Parlimen Bukit Gelugor mempunyai 82,431 pengundi. – BERNAMA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.