PRK Teluk Intan Rintih Kit Siang: Dyana Berisiko Kalah

KUALA LUMPUR: Walaupun mendapat sambutan hangat pengunjung laman sosial dan menarik perhatian media massa utama negara, populariti calon DAP Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan,  Dyana Sofya Mohd Daud tidak meletakkan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam keadaan selesa.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu malah  menyeru semua pengguna internet untuk turun padang melakukan segala termampu untuk membantu kemenangan Sofya dalam PRK Teluk Intan.

Beliau berkata, berbanding dengan sokongan besar Dyana di internet, suasana di kawasan Parlimen itu berbeza sama sekali apabila peguam muda itu menghadapi pertarungan sukar berhadapan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong.

“Jika pertarungan ini ditentukan di media sosial atau internet, tiada keraguan lagi Dyana akan menang. Namun Saya bimbang kerana PRK ini bukan ditentukan pengguna internet, tetapi 60,000 pengundi Teluk Intan, dengan peratusan besar tidak memiliki internet,” ujarnya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Kit Siang “menghantar pesanan kecemasan SOS” kepada warga internet supaya datang membantu Dyana yang berisiko menghadapi kekalahan.

Kit Siang turut mengulang kenyataannya sebelum ini bahawa DAP bertanding sebagai ‘underdog’ dengan peluang kemenangan 40:60 peratus berbanding calon BN.

Pencalonan Dyana Sofya mendapat sambutan hangat di internet, apabila laman Facebook rasmi diikuti lebih 43,000 pelayar internet walaupun baru lima hari dilancarkan.

Kit Siang menambah, pencalonan Dyana telah mencetuskan harapan seluruh rakyat Malaysia yang sudah muak dengan politik lama berasaskan kaum untuk digantikan dengan “politik nilai”.

“Penganalisis menyifatkan keputusan DAP mencalonkan beliau sebagai tindakan ‘berani’, namun sukar untuk mencapai kemenangan kerana politik Malaysia masih kuat berakar kepada perkauman. Kami tidak setuju dengan pemikiran ini.

“Kami percaya selepas 57 tahun Merdeka, sudah tiba masanya rakyat meninggalkan politik sebegitu, di mana orang Cina menyokong Cina, Melayu menyokong Melayu dan India menyokong India.

“Dan menuju ke tahap yang lebih tinggi dengan menyokong sesiapa sahaja yang bersedia untuk mengambil pendirian tegas dalam isu keadilan, kebebasan, kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY, 21/5/2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.