Lambakan Kedai Tom Yam Warga Asing

ALOR SETAR – Pertubuhan Ikatan Peniaga Kecil dan Sederhana Malaysia menggesa pihak berkuasa tempatan serta agensi penguatkuasa  (PBT) memandang serius terhadap kebanjiran peniagaan restoran tom yam warga asing dekat sini.

Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, tindakan menyemak lesen perniagaan restoran dan gerai tom yam perlu dilakukan dengan telus bagi memastikan ia tidak ‘dialibabakan’ kepada warga asing.

Menurut beliau, pihaknya menerima banyak aduan daripada peniaga tempatan yang kini terjejas berikutan lambakan restoran tom yam di negeri itu sejak kebelakangan ini dimonopoli peniaga asing dari Thailand.

“Ikhlas memandang serius isu kebanjiran peniaga warga asing di negeri ini yang dilihat berleluasa menjalankan perniagaan sehingga menjejaskan peluang penduduk tempatan.

“Sehubungan itu, kami berharap PBT meningkatkan pemantauan terhadap restoran atau gerai seumpama ini dan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kemasukan peniaga dan pekerja warga asing juga perlu diberi perhatian serius dari aspek permit kemasukan ke negara ini sebagai pekerja.

“Di samping isu lesen perniagaan yang diragui, timbul juga isu sama ada pekerja-pekerja asing yang bekerja di restoran atau gerai ini memiliki permit bekerja yang sah atau tidak, ini juga menimbulkan keraguan berhubung status kesihatan mereka.

“Ini kerana banyak kes yang melibatkan kemasukan pekerja warga asing dengan hanya menggunakan pas lawatan sosial atau pas sempadan untuk bekerja di negara kita,” katanya.

Tambah Mohd Ridzuan, pemantauan pihaknya mendapati, lambakan restoran atau gerai tom yam itu dikesan di sekitar daerah Kubang Pasu, Alor Setar, Baling, Sungai Petani dan Padang Serai.

“Boleh dikatakan tiap-tiap bulan ada sahaja kedai Tom Yam dibuka di daerah-daerah tersebut. Ini menyebabkan peniaga tempatan terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu bersaing dengan mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.