Bom Dalam Pasu Bunga Meletup Di Pintu Rumah

Ipoh: “Ketika saya bersama isteri dan dua anak tidur di tingkat atas rumah kami, saya dikejutkan bunyi letupan disusuli kaca berderai di tingkat bawah rumah apabila turun untuk memeriksa terkejut mendapati asap tebal serta bau hangit di pintu utama rumah,” kata jurutera sambilan yang rumahnya di Taman Silibin Ria, di sini, dikhianat dengan sejenis mercun yang diletakkan dalam pasu bunga sebelum diletupkan awal pagi, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, jurutera berusia 39 tahun yang enggan namanya didedahkan berkata, ketika letupan berkenaan berlaku seorang pembantu rumahnya turut berada di sebuah bilik di bahagian dapur rumah, namun semua mereka yang berada dalam rumah tidak cedera.

Menurutnya, letupan kuat itu mengakibatkan cermin pintu utama rumah pecah dan kereta jenis Nissan Sylphy miliknya rosak pada bahagian depan termasuk cermin depan retak, selain siling, lampu serta kipas di garaj turut rosak dan pecah.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong, yang ditemui di lokasi kejadian berkata, letupan itu dipercayai berpunca dari bahan letupan yang diletakkan dalam satu pasu bunga sebelum diletupkan di depan pintu utama rumah mangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.