Abu Backer Tak Langgar Undang-Undang Pilihan Raya

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata tindakan calon Bebas pilihan raya kecil (PRK) Bukit Gelugor, Abu Backer Sidek Mohamad Zan mencetuskan kekecohan di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang semalam tidak melanggar peraturan dalam Akta Pilihan Raya 1954.

Mengulas perkara itu, Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata Backer tidak melanggar apa-apa undang-undang pilihan raya.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Tiada pelanggaran undang-undang (dalam insiden Backer dan Guan Eng) sebab itu adalah cara dia (kempen), jadi tiada tindakan undang-undang SPR akan diambil,” kata Abdul Ghani ketika ditemui di Balai Polis Air Itam hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan tiada lagi laporan dari mana-mana pihak dibuat atas insiden semalam.

“Setakat ini tidak terima apa-apa laporan,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, ketika ditanya sama ada SPR akan menarik pencalonan Abu Backer Sidek dalam pilihan raya kecil itu, Abdul Ghani berkata:

“Setakat ini kami tidak menarik pencalonannya… sebab dia dah bayar deposit, sebaik dah jadi calon, calon itu tidak boleh tarik diri”.

Semalam, Abu Backer Sidek, 46, tiba di hadapan pintu pagar DUN Pulau Pinang pada 1 tengah hari untuk menghantar surat jemputan kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng bagi menghadiri ceramah penerangan anjurannya tentang hukum Hudud di Farlim, Air Itam pada 23 Mei ini.

Abu Backer Sidek dihalang sekumpulan pengawal keselamatan yang bertugas di DUN berkenaan daripada bertemu ketua menteri, ekoran itu beliau bertindak menahan kereta dinaiki Lim bersama-sama pembantunya yang ketika itu mahu meninggalkan dewan.

Berikutan tidak berpuas hati dengan tindakan pemandu kereta Lim yang tidak mahu berhenti, beliau nekad meluru ke arah kereta itu dan ‘terjatuh’ di atas jalan raya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.