KUALA LUMPUR – Cadangan bagi mengehadkan tempoh khidmat Perdana Menteri kepada 10 tahun akan ditentukan parti-parti politik di negara ini untuk direalisasikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perbincangan perlu diadakan lebih terperinci memandangkan kajian bagi mengehadkan tempoh itu mungkin turut membabitkan jawatan di peringkat kerajaan negeri.
“Sistem kepimpinan Perdana Menteri dua penggal, kita kena bawa kepada parti politik dahulu sebab parti politik yang kita nak bawa.
“Kita nak mengkaji dari segi dua penggal Perdana Menteri, ia mungkin terpakai di peringkat negeri-negeri juga, Ketua Menteri, Menteri Besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Santunan Mesra Aidilfitri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) Bersama Warga Jabatan dan Agensi lapor Malaysia Gazette pada Isnin.
Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, Anwar berkata, kerajaan sedia meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, tetapi proses ini memerlukan konsensus semua parti dan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.
Perdana Menteri menegaskan bahawa reformasi itu tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa dan hanya akan diusul selepas kerajaan benar-benar bersedia.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pula berharap kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).
Mengulas lanjut, Azalina mengakui, pertemuan dengan parti politik ketika ini hanya merujuk berkenaan perbincangan bagi penggubalan Akta Pendanaan Politik.
“Pendanaan politik tak boleh pendanaan di peringkat Persekutuan sahaja, ia pun bagi kesan di peringkat negeri. Dan kalau kita ada pilihan raya negeri, itu juga perlu menjadi kajian.
“Tapi pejabat saya sudah berhubung dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Agensi seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan SPR mereka memang menggalakkan pendanaan politik, tapi dalam bentuk bagaimana, mungkin fasa demi fasa,” katanya.
Azalina memberitahu, terdapat lebih 60 parti politik berdaftar di negara ini dan libat urus perks menjayakan penggubalan Akta Pendanaan Politik yang akan memerlukan tempoh yang panjang termasuk membabitkan badan bukan kerajaan (NGO), universiti dan masyarakat awam.