KOTA KINABALU, – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak mengingatkan para pemimpin politik agar tahu bila masanya untuk berhenti, menekankan pentingnya memiliki exit plan dalam perjuangan politik dan kehidupan.
Dalam satu tulisan berjudul “Tahu Bila Cukup”, beliau mengulas mengenai kegagalan ramai individu bukan kerana kurang usaha, tetapi kerana tidak tahu erti “cukup”, hingga akhirnya hilang arah dan jatuh tersungkur.
“Ramai jatuh bukan kerana malas, tetapi kerana tamak. Sudah berjaya, tapi masih mahu lebih hingga hilang halatuju,” katanya.
Salleh turut mengaitkan fenomena ini dengan perniagaan dan pelaburan, di mana ramai usahawan yang gagal bukan kerana tiada potensi, tetapi kerana terlalu gelojoh mengejar keuntungan tanpa perancangan jangka panjang.
Namun, menurut beliau, fenomena sama turut berlaku dalam politik dan gerakan masyarakat sivil (NGO), apabila individu terlalu mengejar pengaruh dan jawatan hingga melupakan nilai sebenar perjuangan.
“Ada cita-cita itu penting. Tapi lebih penting ialah tahu bila cukup. Bila untuk terus, bila untuk berhenti,” katanya lagi.
Salleh menegaskan bahawa langkah paling bijak kadang kala bukanlah untuk terus mara, tetapi untuk berhenti seketika, menilai semula arah tuju, dan bersyukur dengan apa yang telah dicapai.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada tulisan Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan ini merujuk secara langsung kepada pertembungan hala tuju dalam kepimpinan UMNO Sabah; atau menyentuh skandal yang membabitkan pentadbiran kerajaan negeri mutakhir ini.
Namun, mesejnya jelas pemimpin yang bijak adalah mereka yang tahu bila perlu memberi laluan.
“Yang benar-benar bijak bukan yang paling laju, tetapi yang tahu bila untuk berhenti dan menikmati hasil usaha,” kata beliau mengakhiri tulisannya.