KUALA LUMPUR – Sultan Kelantan Sultan Muhammad V mahu cadangan pembinaan tembok dan zon penampan di kawasan Sungai Golok dimuktamadkan segera.
“Beta memandang serius isu keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand,” titah baginda dalam Titah Ucapan Diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 lapor Bernama di Kota Bharu pada Isnin.
Pada November tahun lepas, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata kerajaan negeri mencadangkan kepada kerajaan Persekutan bagi pembinaan tembok sempadan sepanjang 100 kilometer dengan Thailand.
Beliau berkata projek itu bertujuan membanteras penyeludupan dan jenayah rentas sempadan serta menangani isu banjir.
Sultan Muhammad V turut menggesa projek lembangan sungai bersepadu Sungai Kelantan dan Sungai Golok dapat disegerakan bagi semua fasa sebagai penyelesaian segera terhadap isu banjir tahunan di negeri ini.
“Fasa keutamaan harus diberikan kepada pembinaan Empangan Lebir yang menjadi keperluan mendesak dalam mengatasi isu banjir di Kelantan,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Kelantan menyeru jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan yang terlibat dalam sektor pertanian supaya tetap fokus kepada fungsi dan tugas utama masing-masing serta meningkatkan usaha bagi memastikan sekuriti makanan negeri dan negara terjamin.
“Beta sangat mengharapkan pihak kerajaan serta rakyat meneroka dan mendinamikkan tanaman berpotensi tinggi, seperti kelapa dan durian sebagai sumber pendapatan dalam bidang pertanian.
“Selaras dengan Enakmen Pemajuan Pertanian Negeri Kelantan 2022, beta berharap sebuah pusat pengumpulan hasil pertanian di Lojing dapat dibangunkan dengan segera. Tanpa langkah tegas untuk memperkukuh jenama hasil pertanian Lojing, Kelantan akan kehilangan peluang dari segi hasil, pelaburan dan pembangunan ekonomi.
“Dengan strategi penjenamaan, infrastruktur yang baik dan pematuhan undang-undang, Kelantan berpotensi mengukuhkan jajahan kecil Lojing sebagai pusat pertanian berdaya saing di Malaysia,” titah baginda.