CYBERJAYA – Timbalan Presiden MIC, Datuk M. Saravanan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengarahkan semua agensi dan jabatan kerajaan menghentikan penggunaan istilah “kuil haram” dalam sebarang urusan rasmi atau komunikasi kerajaan.
Permintaan itu dikemukakan susulan satu jawapan rasmi daripada pihak Hospital Taiping berkaitan aduan terhadap sebuah tempat ibadat Hindu di kawasan hospital berkenaan. Dalam maklum balas bertajuk “Maklumbalas PCB 965228 – Aduan Kuil Haram”, Timbalan Pengarah Hospital Taiping, Arni Nadhirah Abdul Hadi menyatakan tindakan lanjut sedang diambil mengikut tatacara yang sewajarnya.
Saravanan membidas penggunaan istilah tersebut yang menurutnya bukan sahaja tidak sensitif, malah menyinggung perasaan penganut agama Hindu serta mengabaikan fakta sejarah yang penting.
“Majoriti kuil itu wujud sewaktu zaman penjajahan British dan Jepun,” tegas beliau.
Saravanan menjelaskan bahawa banyak rumah ibadat tersebut telah dibina oleh buruh India pada zaman penjajahan, bertujuan menyediakan tempat ibadat berhampiran kawasan mereka bekerja. Katanya, kuil-kuil ini telah wujud jauh sebelum penggubalan Kanun Tanah Negara pada tahun 1965.
“Kerajaan seharusnya tidak mengabaikan fakta sejarah sebenar kuil-kuil Hindu yang ini mendapat kelulusan pihak penjajah dan pemerintah tempatan,” tambah beliau.
Menurut Saravanan, selepas era fragmentasi estet, tanggungjawab ke atas kuil-kuil ini telah beralih kepada komuniti tempatan. Namun begitu, proses urbanisasi telah menyebabkan banyak kuil yang dahulu terletak di kawasan terpencil kini berada dalam kawasan bandar.
“Melabelkan rumah ibadat sebagai ‘kuil haram’ amat menyinggung perasaan penganut agama Hindu,” katanya.
Tegas beliau lagi, penggunaan istilah tersebut harus dihentikan serta-merta dan satu dasar baharu perlu diwujudkan bagi mengiktiraf sumbangan sejarah serta hak komuniti terhadap rumah ibadat yang telah lama wujud.
Surat rasmi mengenainya telah dihantar ke Pejabat Perdana Menteri pagi ini sebagai satu tindakan mendesak pihak kerajaan agar lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Isu kewujudan rumah ibadat tidak berdaftar turut mendapat perhatian umum susulan perpindahan kontroversi Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, berusia 130 tahun di Kuala Lumpur, yang dipindahkan bagi memberi laluan kepada pembinaan sebuah masjid.