Malaysia-Indonesia Sasar Kerjasama TVET, Halal dan Francais ASEAN

- Advertisement -

JAKARTA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia dengan mengadakan pertemuan bersama Naib Presiden Republik Indonesia, YM Gibran Rakabuming Raka di Istana Wakil Presiden, Jakarta pagi ini.

Lawatan ini merupakan susulan kepada Lawatan Negara Presiden Republik Indonesia ke Malaysia pada Januari lalu, sekali gus mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin erat sejak sekian lama.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Ahmad Zahid menyatakan:

“Diplomasi Serumpun Diperkasa, Masa Depan Direncana Bersama”

Beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Gibran selaku Naib Presiden termuda dalam sejarah Indonesia, menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang “inovatif dan berani” dalam membawa masa depan negara itu ke arah lebih gemilang.

Antara inti pati pertemuan tersebut termasuk:
1. Kerjasama dalam Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) – melalui Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bersama beberapa provinsi di Indonesia, untuk meningkatkan mutu latihan dan pendidikan teknikal.
2. Perbincangan sektor halal – bagi mengenal pasti cabaran serta peluang kerjasama dalam industri halal yang kian berkembang.
3. Kerjasama dalam sektor francais di ASEAN – membuka lebih banyak ruang kepada usahawan muda Malaysia dan Indonesia.
4. Pemerkasaan belia dua negara – menerusi program pertukaran pelajar, keusahawanan sosial dan inovasi.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah empat menteri kanan Indonesia , YM Budi Gunawan (Menteri Koordinator Bidang Politik dan Keamanan), YM Pratikno (Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan), YM Nasaruddin Umar (Menteri Agama),  dan YM Sakti Wahyu Trenggono (Menteri Kelautan dan Perikanan)

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa hubungan Malaysia-Indonesia dibina atas dasar sejarah, budaya dan politik yang kukuh, serta mampu terus diperkasa menerusi semangat solidariti dan kerjasama.

“Saya percaya bahawa hubungan erat ini, yang dibina atas ikatan sejarah, budaya dan politik ini akan terus memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara serumpun. Dengan semangat solidariti dan kerjasama, saya yakin bahawa Malaysia dan Indonesia akan terus maju bersama dalam pelbagai bidang.”

Lawatan rasmi ini dijangka membuka ruang yang lebih luas dalam menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan strategik melibatkan kedua-dua negara jiran serantau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat