KUALA LUMPUR: Pengerusi MCA Negeri Kelantan, Chua Hock Kuan berkata, keputusan biro politik MCA untuk tidak turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu kerana bukan calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding.
Jelasnya, PRN 6 negeri MCA juga tak bantu calon PH, Kuala Kubu Baru menang juga dengan lebih 4 ribu majoriti.
Sindirnya, buat apa terhegeh-hegeh pergi sorongkan hidung yang tak mancung kerana ramai tak suka MCA seperti ‘biawak hidup’ ini.
“Sehari dua ni saya tengok dok kalut pemimpin pelbagai lapisan dari UMNO ada yang larang, ada yang kutuk keputusan biro pilitik MCA untuk tidak turun kempen di PRK Kuala Kubu Baru.
”Yang peliknya, apa yang ada dengan biawak hidup ni? Tak usahlah nak backup bagai nak rak rakan baru tu, dah bukan calon BN bertanding, biarlah MCA buat Keputusan sendiri nak ke tak nak bantu. PRN 6 negeri MCA juga tak bantu calon PH, Kuala Kubu Baru menang juga dengan lebih 4 ribu majoriti.
“Orang dah kata tak suka kita MCA, orang nak bunuh kita, buat apa nak terhegeh-hegeh pergi sorongkan hidung yang tak mancung? MCA juga tidak masuk campur urusan UMNO nak pikul bendera DAP di PRK kali ni. Selamat Maju Jaya kepada Parti-parti yang bertanding,” katanya menerusi Facebook, pada Ahad.
Media melaporkan Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA pada Jumaat memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN.
Pada pilihan raya negeri, tahun lalu, Lee Kee Hiong daripada DAP berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu dengan majoriti 4,119 undi apabila mengalahkan Teoh Kien Hong (GERAKAN), Siva Prakash Ramasamy (MUDA) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia).