Pengecualian GST Kepada Projek ECRL, Bukan Kepada Syarikat China

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia memberikan pengecualian cukai kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan bukannya syarikat China, China Communications Construction Company (CCCC) yang dilantik untuk melaksanakan pembinaannya.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi berkata, projek ECRL dan CCCC adalah dua entiti yang berbeza dan perlu dibezakan.

“Isu pengecualian cukai GST ke atas Projek ECRL telah hebat diperkatakan oleh pemimpin pembangkang baru-baru ini seolah-olah Kerajaan memberi pengecualian ke atas sebuah syarikat daripada negara luar.

“Akibat daripada apa yang diperkatakan tersebut, terdapat segelintir rakyat yang terkeliru dengan tohmahan yang dikeluarkan oleh pemimpin parti politik pembangkang yang secara jelas mempermainkan sentimen-sentimen tertentu bagi membangkitkan kemarahan.

“Sikap tidak bertanggungjawab pembangkang ini hanyalah bertujuan kepentingan politik tanpa mengambil kira objektif serta tujuan mengapa pengecualian cukai ini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pemberian pengecualian cukai terhadap projek-projek kerajaan adalah satu amalan biasa oleh kebanyakan negara di dunia.

Malah, perkara ini (pengecualian cukai SST) juga pernah dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri dahulu.

Katanya, tindakan pembangkang menimbulkan isu ini seolah-olah mahu mensabotaj projek yang bakal memberi manfaat kepada sebilangan besar rakyat secara khusus dan negara secara amnya.

“Dengan bermulanya projek ECRL ini, peluang pekerjaan khususnya untuk rakyat tempatan akan terbuka luas dan ini bakal mempertingkatkan ekonomi setempat.

“Kos pengangkutan akan menjadi lebih murah dan hasilnya harga barang juga boleh diturunkan selain peluang untuk memperkenalkan produk-produk setempat ke pasaran nasional.

“Unjuran impak KDNK hasil daripada projek ini juga adalah sejumlah RM50.1 bilion dan mampu meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya lagi.

ECRL juga akan menghubungkan Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak ke Pelabuhan Klang dan ini memungkinkan kargo daripada Pelabuhan Shenzhen tidak lagi perlu melalui Singapura untuk sampai ke Pantai Barat Semenanjung, tetapi boleh diturunkan di Pelabuhan Kuantan kemudian dihantar terus ke Pelabuhan Klang.-MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.