Bukit Aman Syaki Imam Palestin Dibunuh Ejen Perisik Luar Negara – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan seorang pensyarah Universiti Kuala Lumpur warga Palestin yang mati ditembak di Medan Idaman, Setapak pagi ini merupakan seorang pakar kejuruteraan elektrik dalam penghasilan roket.

Ahmad Zahid berkata, hasil maklumat Polis Bukit Aman mendapati kematian Dr. Fadi Mohammed Al Batsh, berkemungkinan mempunyai kaitan dengan perisikan negara luar yang mengesyaki beliau mempunyai saham dari segi sumbangan melatih pelajar UniKL atau menjadi liabiliti kepada negara yang bermusuhan dengan Palestin.

Menurut Ahmad Zahid, Dr. Fadi yang merupakan seorang pemastautin tetap dan telah menetap lebih 10 tahun di negara ini, sepatutnya berlepas ke Turki pada tengah hari ini untuk menghadiri satu persidangan antarabangsa.

Tambah beliau, Dr. Fadi juga merupakan seorang bekas penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Malaya yang aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam serta dipercayai mempunyai kaitan dengan pergerakan Hamas.

“Saya turut berdukacita atas kematian Dr. Fadi ini, namun polis akan meneruskan siasatan dari semua sudut sehingga tertangkapnya dua lelaki Eropah yang menaiki motosikal BMW 1100 CC kerana melakukan perbuatan jenayah di negara ini.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan Polis antarabangsa (Interpol) dan Aseanapol bagi menjejaki penjenayah berkenaan. Kita juga berharap penjenayah ini akan dapat dikesan segera oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan kita akan maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan GiatMara Bagan Datuk di Jalan Besar, Hutan Melintang dekat sini hari ini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.