Tun M Tak Boleh Paksa Orang Percaya Pandangannya – Zahid Hamidi

Kuala Lumpur – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh memaksa orang lain untuk mempercayai pendapatnya tentang sokongan ahli UMNO terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Beliau juga menyifatkan kenyataan bekas perdana menteri itu sebagai sekadar pandangan dan analisis beliau sendiri, apabila beliau (Dr Mahathir) mendakwa Najib telah hilang sokongan.

 

“Itu analisis beliau (Dr Mahathir) sendiri. Saya tidak tahu bagaimana beliau merumuskan penemuan tersebut, namun saya hormati pandangannya… tetapi beliau tidak boleh memaksa orang lain untuk mempercayai penemuannya itu,” kata Ahmad Zahid pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pertubuhan Alumni ESQ Kementerian Dalam Negeri (KDN), Isnin.

 

Kata beliau, Dr Mahathir sewaktu menjadi perdana menteri, turut meminta ahli parti supaya memberi kesetiaan tidak berbelah bagi kepadanya.

 

“Sewaktu beliau berkuasa, beliau juga menuntut kesetiaan tidak berbelah bagi. Oleh itu, kepimpinan sekarang pun menuntut perkara yang sama daripada ahli,” kata Ahmad Zahid.

 

The Malaysian Insider pada Ahad melaporkan, Dr Mahathir telah berkata sokongan yang diberikan kepada Najib adalah tidak benar, sambil membandingkan antara sokongan yang diterimanya pada 2003 dengan sokongan yang diterima Najib kini.

 

Katanya pada ketika ini, ramai pemimpin UMNO dan orang ramai telah berjumpa dengannya bagi menyatakan sokongan terhadapnya dalam mengkritik Najib yang juga Presiden UMNO itu.

 

Bagaimanapun, dakwa Dr Mahathir, mereka tidak menyatakannya secara terbuka kerana bimbang akan ditahan. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.