Saya Memang Lanun Ujar Tunku Mahkota Johor

Kuala Lumpur – Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menasihati segelintir penyokong bola sepak negara yang berfikiran negatif dengan bertindak melemparkan pelbagai tuduhan buruk kepadanya dan juga pasukan JDT.

 

Menurutnya, terdapat segelintir penyokong yang tidak dapat menerima hakikat sehingga melontarkan kata-kata kesat kepadanya termasuklah menyifatkan baginda sebagai lanun kononnya merampas pemain bola sepak pasukan lain.

 

Jelasnya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang pemain itu beralih ke pasukan lain termasuklah memilih untuk bermain dengan pasukan JDT.

 

“Pertama sekali, para pemain memang mahu bermain untuk JDT. Dengan segala perkembangan yang berlaku di sini, bolehkah kita menyalahkan mereka kerana membuat pilihan tersebut?

 

“Dalam bola sepak, seseorang pemain akan meninggalkan sesebuah kelab kerana tiga sebab utama iaitu, untuk mendapat gaji yang lebih baik, untuk bermain dalam sebuah pasukan yang lebih baik yang diurus secara profesional, ataupun, mereka tidak berpuas hati dengan cara pasukan mereka dikendalikan.

 

“Jadi, siapa yang harus dipersalahkan? Lihatlah pengurusan kelab sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook JOHOR Southern Tigers, hari ini.

 

Ujarnya lagi, penyokong bola sepak tanah air perlu mengubah mentaliti dan fikiran untuk memastikan mutu bola sepak tanah air dapat dipertingkatkan.

 

“Ada sebabnya mengapa kita ketinggalan. Ianya kerana kita mempunyai badan induk pentadbir bolasepak yang masih ketinggalan dari segi ideologi dan keberatan untuk maju ke hadapan.

 

“Dukacita untuk dikatakan, sesetengah penyokong bolasepak juga berkelakuan sedemikian. Sekiranya kita mahukan bolasepak di negara kita berubah, ubahlah kualiti pemikiran kita dahulu.

 

“Nasihat saya kepada sesetengah penyokong yang sentiasa berpandangan negatif… Kita tidak tahu berapa lama hidup kita di dunia ini.

 

“Secara ringkasnya, apa yang ingin saya sampaikan adalah lebih baik kita mengasihi orang yang tersayang sementara mereka masih di samping kita daripada membazir masa memburukkan orang lain.

 

“Oleh itu, hiduplah dengan positif dan sentiasa bersyukur kepada Yang Maha Kuasa. Akhir kata, saya memang Lanun”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.