Pilot Cafe Realiti Kehidupan Anak Luar Nikah

Pengarah filem Pilot Cafe, Osman Ali menjelaskan jalan cerita filem arahannya itu yang memaparkan kisah pergaulan bebas sehingga menyebabkan kelahiran anak luar nikah bukan bertujuan mengalakkan masyarakat terjebak dengan gejala hubungan terlarang itu.

 

Menurutnya, apa yang dipaparkan menerusi kisah adaptasi novel nukilan Ahadiat Akashah itu ialah mengangkat realiti kehidupan yang berlaku dalam kalangan masyarakat juga nasib wanita teraniaya.

 

“Bukan bertujuan mengalakkan gejala anak luar nikah atau perkara negatif lain. Sebaliknya, ia adalah paparan dalam realiti kehidupan yang berlaku kalangan masyarakat kita hari ini.

 

“Selain itu, mengenai nasib wanita yang banyak dipergunakan kaum lelaki untuk kepentingan diri mereka sendiri sehingga wanita itu menjadi mangsa penganiyaan dan hamil anak luar nikah.

 

“Namun, dalam filem ini turut memaparkan natijah dan akibat apabila sesorang itu terjerumus dalam perbuatan tersebut. Misalnya watak Fahrin Ahmad sebagai seorang lelaki kasanova dan lari daripada bertangggungjawab.

 

“Akhirnya dia sedar dan rasa bersalah sebelum cuba menebus dosanya tertapi dia menerima hukum karma.

 

“Sebagai pengarah saya sudah cuba memberikan garapan terbaik. Terpulang pada penonton untuk menilainya. Jika penilaian yang dibuat positif, maka mesej positif yang kita semua dapat,” katanya kepada Malaysian Digest, baru-baru ini.

 

Pilot Cafe menjalani penggambaran sekitar tahun 2013 selama 50 hari melibatkan lokasi sekitar Lembah Klang, Kuala Terengganu dan Pulau Redang.

 

Filem termahal terbitan Astro Shaw dan Tarantella Pictures ini akan ditayangkan di pawagam seluruh tanah air mulai 30 April ini.

 

Sementara itu, tambah Osman cabaran utama sepanjang menghasilkan filem ini ialah bagaimana untuk mengekalkan keaslian jalan cetita daripada novel dan diterjemahkan dalam bentuk visual.

 

“Saya menjadikan filem terdahulu saya iaitu Ombak Rindu sebagai inspirasi sepanjang menghasilkan filem ini.

 

“Cabaran utamanya dari segi bagimana mahu menterjemahkan jalan cerita novel ke dalam bentuk visual.

 

“Selain itu, muzik yang melatari filem ini juga membantu untuk membangkitkan emosi penonton,” katanya.

 

Diterajui barisan pelakon hebat termasuk Izara Aishah, Neelofa dan Remy Ishak.

 

Pilot Cafe mengisahkan kehidupan juruterbang Ameer Reza yang mempunyai sikap suka berfoya-foya dan kemudiannya insaf setelah dia kehilangan orang tersayang.

 

Ameer membuka sebuah cafe yang diberi nama Pilot Cafe. Takdir menemukannya dengan seorang gadis kampung, Maya dan segalanya bermula sehingga Ameer mula jatuh cinta pada Maya. -MD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.