Pengeluaran Pada Usia 60 Tahun Terlalu Lewat

KUALA LUMPUR – Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetap memilih untuk mengeluarkan wang caruman masing-ma­sing pada usia 55 tahun walaupun agensi itu turut memberi pilihan cadangan pengeluaran yang diselaraskan sepenuhnya pada usia 60 tahun pada 2031 kepada pencarum berusia 43 tahun dan ke bawah.

 

Berdasarkan tinjauan rawak terhadap 25 orang pencarum berusia 43 tahun dan ke bawah di ibu negara, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Sabah yang mewakili setiap zon di negara ini, kesemua mereka tidak bersetuju dengan cadangan penyelarasan pengeluaran pada usia 60 tahun.

 

Bagi mereka, polisi sedia ada sudah cukup baik dan mereka bimbang perancangan kewangan akan terjejas sekiranya pengeluaran ke­seluruhan caruman hanya dibenarkan setelah mencapai usia 60 tahun.

 

Mereka juga berpendapat, usia 60 tahun sudah terlalu tua untuk menikmati wang caruman memandangkan dalam usia itu pelbagai penyakit sudah ‘hinggap’ di badan.

 

Penjawat awam, Mohd. Izzudin Muhammad, 25, berkata, wang caruman yang dikeluarkan lazim­nya digunakan untuk membiayai kos pendidikan anak-anak, penja­gaan kesihatan dan menampung per­belanjaan harian.

 

“Saya fikir 55 tahun adalah yang terbaik kerana purata jangka hayat rakyat Malaysia adalah tidak tinggi dan individu yang mencarum mempunyai hak untuk menggunakan wang yang mereka simpan semasa bekerja,” katanya di sini.

 

Sementara itu di KOTA KINABALU, Noraini Ismail, 27, memberitahu, wang caruman KWSP bukan sahaja digunakan untuk menampung perbelanjaan harian, malah boleh dibelanjakan untuk aktiviti seke­luarga seperti melancong.

 

“Saya memang tidak bersetuju kalau had umur pengeluaran caruman dilanjutkan kerana kami sekeluarga telah merancang pergi me­lancong selepas mengeluarkan wang KWSP pada usia 55 tahun,” jelasnya yang bekerja sebagai seorang kerani.

 

Di IPOH, kakitangan swasta, Hamdan Arsad, 28, berkata, KWSP perlu mempertimbangkan secara serius pandangan sebahagian besar pencarum untuk mengekalkan had umur sedia ada.

 

“Bagi pekerja dalam sektor swasta, umur 55 tahun sudah dianggap sebagai agak ‘lewat’ untuk terus bekerja,” ujarnya.

 

Dalam pada itu di SEREMBAN, pegawai pemasaran, Noor Azley Syam Mhd. Radzali, 36, menyifatkan tanggapan pencarum akan menghabiskan wang KWSP yang dikeluarkan dalam masa yang singkat adalah sukar untuk diterima.

 

“Tanggapan sedemikian adalah mengarut dan tidak sepatutnya menjadi sebab had umur pengeluaran penuh dinaikkan kepada usia 60 tahun,” katanya.

 

Di KUALA TERENGGANU, peker­ja am, Abdullah Embong, 40, berpandangan, KWSP sewajarnya mengambil kira masalah kesihatan yang dihadapi sebahagian pencarum akan menyukarkan mereka untuk terus bekerja sehingga 60 tahun.

 

“Saya sendiri mempunyai pelbagai penyakit termasuk darah tinggi dan kencing manis. Tidak dapat dibayangkan bagaimana keadaannya jika saya terpaksa bekerja sehingga 20 tahun lagi,” jelasnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.