Majlis Fatwa Pantau Pelaksanaan GST

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan akan memantau pelaksanaan GST oleh kerajaan bagi memastikan ia memenuhi syarat yang ditetapkan Islam.

 

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, pemantauan akan dibuat dalam tempoh sesuai sebelum pandangan baharu mengenai hukum GST boleh dikeluarkan.

 

“Insya-ALLAH kita akan lihat perkara ini dari semasa ke semasa. Janganlah baru sebulan kita sudah mahu nilai kerana ini tugas besar. Kita kena beri peluang dahulu, mungkin setahun, untuk lihat apa hasil, faedah dan keburukan GST.

 

“Kita ada satu jawatankuasa yang dilantik oleh perdana menteri, iaitu Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah dan ini (pelaksanaan GST) termasuk perkara yang boleh dipantau oleh jawatankuasa itu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

 

Sebelum ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 21 hingga 22 Oktober 2014 telah memutuskan bahawa Islam mengharuskan pemerintah untuk mengutip cukai seperti GST jika terdapat keperluan dan maslahah (kepentingan umum) untuk negara dan rakyat.

 

Menurut Abdul Shukor, hukum harus itu, bagaimanapun, tertakluk kepada enam syarat yang perlu dipenuhi kerajaan, termasuk mengutip GST untuk meningkatkan syiar Islam, demi pembangunan umum, tidak mengutip cukai secara berlebihan, dikutip secara adil, tidak digunakan untuk maksiat dan agihan cukai perlu adil.

 

“Kita tidak ada kuasa tetapi kita berikan pandangan jadi sebaik-baiknya (kerajaan) dengarlah pandangan kita,” katanya.

 

Menyentuh mengenai hujah sesetengah pihak bahawa GST tidak boleh dikenakan kerana berlaku ketirisan dalam kerajaan, Abdul Shukor berkata, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan  meletakkan syarat cukai itu perlu dilaksanakan secara adil serta tidak ada sebarang salah guna.

 

Pandangan GST haram sudah diambil kira

 

Sementara itu, Abdul Shukor berkata, pandangan bahawa GST adalah haram seperti dikemukakan agamawan terutama dari parti politik sudah diambil kira sebelum Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memberikan pandangan hukum berhubung cukai itu.

 

“Ahli panel Majlis Fatwa berbeza pandangan sama ada GST boleh (harus), tidak boleh (haram) atau dengan syarat. Jadi kita lantik panel penyelidik bebas iaitu dari Universiti Teknologi Malaysia yang terdiri daripada pakar syariah, ekonomi dan ekonomi Islam.

 

“Selepas itu kita arahkan felo (Majlis Fatwa) sendiri buat kajian. Kita sudah berbincang beberapa kali dan itulah keputusan yang kita keluarkan (iaitu GST adalah harus dengan syarat) berdasarkan fakta ilmiah dan syarak,” katanya.

 

Beliau berkata, jawatankuasa itu bersedia berbincang dengan mana-mana pihak mengenai isu GST jika ia dapat dilakukan dengan hati terbuka.

 

Mengulas pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad mengenai kadar GST perlu dikurangkan dan orang Islam perlu dikecualikan daripada dikenakan cukai itu, Abdul Shukor berkata, lebih banyak masa perlu diberikan untuk melihat kesan pelaksanaan GST.

 

“Kalau boleh, kita bagi masa kerana bukan senang nak tentukan kadar (peratusan GST) ini,” katanya.

 

Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan membuat pandangan mengenai hukum GST dengan mudah dan menggunakan hujah yang longgar.

 

“Tidak, kita buat dua kajian, kita lihat semua pandangan, kita lihat maslahah, kita lihat keperluan darurah (penting).

 

“Memang ada orang miskin dalam negara kita tetapi dengan kutipan GST ini, ia boleh membantu mereka kerana kerajaan selepas itu akan memberi bantuan kepada orang miskin. Jadi kita perkukuhkan lagi pandangan kita bahawa GST itu harus dengan syarat,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.