Bekas Calon PKR Mahu Bertanding Di PRK Parlimen Rompin

KUANTAN – Penulis blog, Mohd. Shukri Mohd. Ramli atau lebih dikenali dengan nama komersialnya, Cucu Mat Kilau (CMK) mengumumkan keputusannya untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin pada 5 Mei ini.

 

Mohd. Shukri, 44, sebelum ini pernah bertanding di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Kemayan mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dan sebagai calon bebas di DUN Semambu pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

 

Bekas ahli PKR itu, bagaimanapun, tewas di kedua-dua PRU berkenaan.

 

Menurut Mohd. Shukri, keputusannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Rompin atas tiket Bebas adalah kerana mahu menjadi calon yang akan membela dan menjuarai isu-isu dan masalah rakyat di kawasan tersebut.

 

Katanya, sudah tiba masanya ada pihak menjadi pilihan ketiga yang boleh menegur dan menjadi pembela kepada isu rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

 

“Saya hendak maklumkan bahawa saya sudah ada pengalaman bertanding sebagai calon Bebas sebelum ini iaitu di DUN Semambu pada pilihan raya umum lalu. Kini, saya merasakan rakyat mahukan pihak yang bebas bersuara, mengkritik dan menegur,” katanya dalam sidang akhbar bagi memaklumkan keputusannya untuk bertanding di PRK Parlimen Rompin di sini hari ini.

 

Mohd. Shukri berkata, beliau akan bergerak bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskannya iaitu Angkatan Pembela Rakyat ataupun Angkara.

 

Menurutnya, antara isu rakyat yang akan dimainkan pada PRK tersebut adalah isu tanah adat masyarakat Orang Asli, Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) dan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

 

Pada masa sama, Mohd. Shukri mengakui, peluang untuk memenangi PRK itu agak sukar memandangkan kerusi Rompin merupakan kubu kuat BN itu.

 

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan keputusan di luar jangkaan boleh berlaku jika terdapat undi protes daripada rakyat.

 

Ditanya mengenai kemungkinan menarik diri di saat-saat akhir sebelum hari penamaan calon, Mohd. Shukri tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku kerana terdapat desakan supaya beliau tidak bertanding.

 

“Kita tunggu hari penamaan calon Rabu ini, mengenai soalan saya akan menarik diri di saat akhir atau tidak kita tunggu pada Rabu ini,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.