Tambah Baik Produk Pelancongan Pahang, Titah Sultan Ahmad Shah

KUANTAN – Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menitahkan kerajaan negeri menambah baik produk dan destinasi pelancongan negeri bagi menarik kehadiran pelancong.

Baginda bertitah langkah itu perlu berikutan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak 8 Mac telah memberikan kesan kepada sektor pelancongan bukan sahaja di Pahang tetapi juga Malaysia secara keseluruhannya.

“Negeri beta dianugerah Allah swt dengan keadaan alam semulajadi yang cantik dan indah, tanah tinggi, tasik, pantai, pulau yang merupakan destinasi pelancongan yang menarik di negeri ini.

“Sehubungan itu kesemua destinasi dan produk pelancongan ini perlu ditambah baik untuk menarik kedatangan pelancong,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal kedua Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang ke-13 Isnin. Turut berangkat Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom.

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Berikutan kejadian itu, sektor pelancongan dianggarkan akan mengalami kehilangan potensi RM105 juta hasil daripada sektor pelancongan susulan pembatalan tempahan pelancong dari negara China sejak hari berkenaan.

Dalam pada itu, Sultan Ahmad Shah turut meminta kerajaan negeri berusaha mencari punca hasil dan pendapatan baharu kerana punca hasil tradisi dari tanah, perhutanan dan air tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan kos yang meningkat setiap tahun.

“Hasil pendapatan negeri pada tahun ini dijangka berjumlah RM811 juta sementara perbelanjaan negeri pula dijangka sebanyak RM808.8 juta dan jangkaan lebihan pendapatan pula adalah RM2.2 juta,” titah baginda.

Menurut baginda pada tahun lepas, Pahang telah mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM32.72 bilion dengan kadar pertumbuhan 6.0 peratus, iaitu kenaikan 0.2 peratus berbanding pencapaian 5.8 pada tahun sebelumnya.

Baginda bertitah dalam masa yang sama juga kerajaan negeri telah mencatat pelaburan yang diluluskan beserta insentif berjumlah RM7.76 bilion dan telah mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan mahir dan separuh mahir.

“Manakala jumlah pelaburan luar yang masuk ke negeri ini pula adalah sebanyak RM9.47 bilion. Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Pahang sendiri dijangka akan memperoleh komitmen pelaburan sebanyak RM6.94 bilion pada tahun ini,” titah baginda.

Sultan Ahmad Shah turut menyeru semua pihak termasuk wakil rakyat supaya terus berusaha memelihara perpaduan dan keharmonian kaum yang merupakan asas kepada keamanan dan kestabilan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran negeri.

“Semua wakil rakyat boleh memainkan peranan untuk menyuburkan keharmonian dan perpaduan rakyat dengan memberikan khidmat dan menjaga kepentingan semua kaum di kawasan masing-masing,” titah baginda.

Baginda juga berharap kerajaan negeri mencari kaedah bagi menangani kejadian banjir besar di negeri ini pada hujung tahun lepas tidak berulang, termasuk membaiki sistem saliran, membina empangan dan batasan sebagai sebahagian daripada kerja-kerja penebatan banjir.

Dalam perkembangan lain, baginda bertitah sebanyak 15,000 rumah mampu milik akan dibina di Pahang dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini dan setakat ini sebanyak 10,859 unit rumah mampu milik pelbagai jenis telah dimulakan pembinaannya melibatkan 24 tapak. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.