Mati kerana udara kotor

Ramai beranggapan udara di dalam rumah lebih bersih berbanding di luar. Benar, terutama ketika insiden jerebu teruk seperti yang berlaku, baru-baru ini.

Jika cuaca baik, bukalah pintu dan tingkap bagi membolehkan pengudaraan yang baik iaitu mengeluarkan udara tercemar di dalam rumah dan membenarkan udara bersih masuk ke dalam kediaman kita.

Adakah udara dalam rumah boleh tercemar? Ya. Mungkin ramai tidak sedar banyak aktiviti harian yang boleh mencemarkan udara seperti memasak. Api daripada dapur menjadi punca utama dan paling buruk yang menyebabkan pencemaran udara dalam rumah sehingga boleh menjejaskan kesihatan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ia menyumbang kepada tujuh juta kematian di seluruh dunia – satu angka yang mengejutkan.
Ketua Kesihatan Awam dan Persekitaran Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Maria Neira berkata, pencemaran udara baik di dalam mahupun luar rumah kini menjadi ancaman terbesar kepada kesihatan yang memberi kesan negatif kepada semua orang sama ada di negara maju atau membangun.
Pada 2012, kajian WHO mendapati pencemaran udara dikaitkan dengan satu daripada lapan kematian. Malah pembunuh nombor satu yang ada kaitan dengan pencemaran udara ialah penyakit jantung, strok, penyakit pulmonari dan kanser paru-paru.

Pakar juga mengesahkan wujudnya kesan jangka panjang termasuklah kecacatan pada bayi yang dilahirkan dan terjejasnya fungsi kognitif pada bayi dan kanak-kanak kecil.

Daripada tujuh juta kes, dianggarkan 4.3 juta kematian disebabkan pencemaran udara dalam rumah, kebanyakannya berpunca daripada asap bahan bakar yang digunakan sama ada arang, kayu atau najis kering.

Pencemaran udara di luar memberi kesan kepada hampir 3.7 juta orang dan puncanya pula lebih banyak, daripada arang hinggalah minyak diesel.

Menurut WHO, ramai penduduk dunia yang terdedah kepada kedua-dua jenis pencemaran ini (dalam dan luar rumah). Apa yang lebih membimbangkan ialah kawasan yang paling teruk mengalami pencemaran udara ini ialah di Asia Tenggara termasuklah India dan Indonesia serta Pasifik Barat iaitu dari China ke Filipina.

Jumlah kematian di dua rantau ini mencecah 3.3 juta bagi pencemaran dalam rumah dan 2.6 juta bagi pencemaran luar rumah. Jumlah kematian yang dicatatkan di negara maju juga agak tinggi iaitu 295,000 kes di Eropah dan 96,000 kes di Amerika Utara serta 68,000 kes di negara Pasifik termasuk Australia dan Jepun.

Neira berkata, angka yang dicatatkan ini sememangnya membimbangkan. Pada 2008, WHO menganggarkan 1.3 juta kematian disebabkan pencemaran udara di luar rumah manakala pencemaran udara di dalam rumah mengakibatkan 1.9 juta kematian.

“Risiko daripada pencemaran udara kini lebih besar daripada yang kita sangkakan terutama untuk penyakit jantung dan strok. Bukti ini secara tidak langsung mengingatkan kita untuk memberi lebih perhatian terhadap kepentingan udara bersih,” katanya.

Namun langkah untuk menuju ke arah dunia dengan udara bersih mungkin agak sukar kerana hampir 2.9 bilion penduduk dunia di negara miskin menyalakan api untuk memasak dan memanaskan rumah mereka, sekali gus menyedut udara yang dipenuhi jelaga.

“Apabila menyalakan api untuk memasak, ia seolah-olah sama dengan membakar 400 batang rokok dalam masa sejam,” kata pakar kesihatan persekitaran, Kirk Smith dari Universiti California.

Koordinator kesihatan awam dan persekitaran WHO Carlos Dora berkata, aktiviti memasak menggunakan arang atau kayu api boleh dianggap seperti menukar rumah menjadi kebuk pembakaran.
Bagaimanapun, kesan negatifnya boleh dikurangkan dengan membina saluran asap supaya udara dalam rumah tidak tercemar.

Selain itu, setiap negara perlu membuat polisi dan berusaha mendapatkan sumber tenaga yang lebih bersih, pengurusan dan penggunaan tenaga lebih cekap. Pada masa sama, kerajaan setiap negara juga perlu mengambil kira aspek teknikal dalam industri auto dan pengangkutan awam.

“Kita tidak boleh membeli udara bersih. Semua orang dalam dunia ini berkongsi udara yang sama. Jadi untuk bernafas dalam udara yang bersih, kita perlu bersama-sama berusaha membantu kawasan yang mempunyai udara tercemar,” katanya.

Ini kerana kesan udara tercemar pada individu amat besar. Contohnya di China saja, pencemaran udara dikatakan menjadi penyebab kepada 500,000 kematian dan beban ekonomi yang perlu ditanggung amat besar.

Satu laporan Bank Dunia dan pihak berkuasa China yang dikeluarkan, baru-baru ini menunjukkan kos untuk masalah kesihatan dan kematian akibat pencemaran udara di negara itu dianggarkan sebanyak RM960 bilion setahun.
Kerana itulah Perdana Menteri China, Li Keqiang melancarkan ‘perang’ ke atas pencemaran udara kerana ia sudah menjadi isu politik. Malah WHO juga akan mengeluarkan senarai 1,600 bandar paling tercemar di dunia, hujung tahun ini. – AFP

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.