Kerajaan Perlu Tangani Persepsi Negatif Sebelum Menghadapi PRU-14 – Hamim

LEDANG, 20 April (Bernama) — Kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu menangani persepsi negatif yang ditanam pihak pembangkang dalam minda rakyat jika tidak mahu berdepan dengan masalah bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ir Hamim Samuri, kerajaan tidak lagi boleh bersikap bertahan atau sekadar menafikan setiap tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap BN.

“Mereka membakar sentimen rakyat dengan dakwaan kononnya kerajaan BN bersikap ganas, zalim, rasuah dan pelbagai dakwaan lagi melalui internet supaya rakyat membenci kerajaan.

“Asakan dan hasutan itu adalah satu strategi jahat politik pembangkang dan BN tidak boleh sekadar bertahan atau menafikan dakwaan. Jika kita gagal uruskan persepsi rakyat yang kini berasaskan perasaan dan emosi semata-mata, kerajaan yang ada hari ini akan jatuh,” katanya.

Beliau yang juga anggota Parlimen Ledang berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung Persatuan Persara Kerajaan Pusat cawangan Ledang di Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini Ahad.

Hamim berkata kerajaan perlu membersihkan imejnya kerana jika gagal berbuat demikian, ia akan mengukuhkan lagi persepsi negatif terhadapnya yang disebarkan oleh pihak pembangkang.

“Jika tidak ditangani, apa sahaja yang dilakukan kerajaan akan dipandang tidak betul atau secara negatif selepas ini,” katanya.

Mengenai iklim pelaburan negara ini, beliau berkata negara akan terus memupuk ekosistem pelaburan yang kondusif tahun ini berdasarkan perkembangan positif tahun lepas yang mencatatkan pelaburan sebanyak RM217 bilion.

Jumlah pelaburan tahun lepas itu mengatasi rekod tertinggi sebelum ini sebanyak RM167.8 bilion pada 2012.

Berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013, beliau berkata, kerajaan bertindak telus dengan tidak menyembunyikan laporan tentang kewujudan ketirisan atau kelemahan di dalam pengurusan kewangan kerajaan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.