Bas persiaran terjunam gaung

20 April – Seorang pelancong warga asing maut dan 38 penumpang termasuk pemandu bas cedera selepas sebuah bas persiaran dua tingkat yang mereka naiki terjunam ke dalam sebuah gaung sedalam 10 meter di Kilometer 70 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang Felda Chini di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Yahaya Othman berkata, kejadian berlaku pada pukul 4.30 petang ketika bas berkenaan yang membawa pelancong dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Singapura.

“Siasatan awal mendapati bas yang dipandu pemandu kedua itu hilang kawalan, dipercayai akibat jalan licin sebelum terbabas ke bahu kiri jalan sebelum terjunam ke dalam gaung.

“Berikutan itu, seorang lelaki warga asing, Harry Christopher Woolhouse berusia 32 tahun maut dan dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat manakala semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan; Hospital Muadzam Shah, Rompin dan Hospital Pekan,’’ katanya di sini hari ini.

Menurut Yahaya, kesemua pelancong berkenaan dipercayai dari Pulau Redang, Terengganu dan menaiki bas berkenaan dari Kuala Terengganu.

“Sebanyak tiga buah jentera bomba dan lebih 10 ambulans bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja dimaklumkan. Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,’’ jelasnya.

Tambah beliau, kedua-dua pemandu bas yang cedera ringan dibawa ke HTAA untuk rawatan selanjutnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.