Malaysia Airlines tempah 30 pesawat Boeing-737 dihantar 2030, modenkan penerbangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia Aviation Group (MAG) dijadualkan menerima 30 pesawat jenis Boeing-737 dalam tempoh lima tahun lagi iaitu pada 2030.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pencapaian baharu syarikat induk Malaysia Airlines Berhad (MAB) itu sekali gus bakal memperkukuh kedudukan negara dalam industri penerbangan global.

Anwar berkata, pencapaian ini bukan sekadar memodenkan armada pesawat penerbangan, tetapi merupakan satu komitmen pelaburan MAG dalam meningkatkan kesaling hubungan Malaysia dengan dunia.

“Pada masa sama ia memperkukuh asas ekonomi kita dalam dunia yang semakin kompetitif.

“Penerbangan sentiasa menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi, membuka peluang kepada perdagangan, pelancongan, dan pelbagai lagi kemungkinan bentuk bidang baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertukaran Dokumen bagi Pesanan Penggantian Pesawat Kecil MAG di Putrajaya pada Jumaat.

MAG telah membuat tempahan muktamad untuk 30 pesawat Boeing 737, yang terdiri daripada 18 model 737-8 dan 12 model 737-10, dikuasakan enjin CFM LEAP-1B dengan tempahan pilihan 30 pesawat lain yang dijadualkan untuk dihantar menjelang 2030.

Kata Anwar, hubungan sekian lama antara Malaysia Airlines dengan Boeing terjalin selama lebih 57 tahun sejak penggunaan pesawat Boeing 707 pada tahun 1968.

Justeru, kerjasama baharu ini adalah satu pengiktirafan Boeing dan GE Aerospace untuk mengukuhkan keberadaan mereka di Malaysia serta menyumbang kepada pertumbuhan negara dan kemajuan teknologi.

Anwar berkata, pelaburan ini bukan sekadar memperoleh pesawat moden tetapi melambangkan komitmen MAG terhadap kemajuan dan masa depan industri penerbangan untuk semua rakyat Malaysia serta komuniti mereka.

Selain itu, katanya, pesawat ini akan meningkatkan pengalaman perjalanan, menggabungkan teknologi moden, serta meningkatkan kecekapan.

“Pada masa sama, ia akan mewujudkan peluang pekerjaan, merangsang industri pelancongan dan mengukuhkan sektor yang berkembang maju dalam ekosistem penerbangan.

“Kesan positif ini akan dirasai untuk meningkatkan ekonomi negara, membuka peluang baharu bagi perniagaan dan individu,” lapor Utusan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, tahun ini menandakan pemulihan sepenuhnya industri penerbangan serantau melebihi tahap ketika tempoh pra-pandemik Covid-19.

Jelasnya, selama beberapa dekad, syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines bukan sekadar sebuah syarikat penerbangan tetapi adalah ikon negara yang membawa bendera dan semangat Malaysia ke setiap pelosok dunia.

Kata beliau, syarikat penerbangan Asia Pasifik mencatat pertumbuhan tahunan tertinggi, dengan peningkatan 16.9 peratus dalam hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK).

“Ini mencerminkan daya tahan sektor penerbangan Malaysia, bukan sahaja dalam pemulihan tetapi juga dalam mewujudkan asas kukuh untuk pertumbuhan dan pengembangan berterusan.

“Dengan lokasi strategik Malaysia di tengah-tengah ASEAN, kita menjadi pintu masuk ke Asia dan dunia. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, kita bertekad untuk membina ekonomi bernilai tinggi dan mampan, menyokong inovasi, menarik pelaburan, serta meningkatkan kedudukan global negara,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat