Rakyat Malaysia Disahkan Maut Dalam Serangan Pengganas Di New Zealand

SELEPAS hampir seminggu mencari, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang hilang sejak Jumaat lepas disahkan telah meninggal dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, Phee Boon Poh, berkata berita kematian Mohd Haziq, 17, itu juga sudah diterima Wisma Putra.

“Difahamkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa akan ke sana (New Zealand), esok.

“Beliau akan mewakili kerajaan Malaysia untuk urusan solat jenazah dan khutbah Jumaat di Christchurch,” katanya di Georgetown malam Rabu, memetik BH.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, difahamkan keluarga Mohd Haziq akan melakukan pengecaman mayat di Hospital Christchurch yang dijadualkan Khamis.

Maklumat itu dikongsi Rahasnan Abdul Rashid, 57, abang kepada Nazril Hisham Omar, salah seorang mangsa tembakan yang menerima rawatan di hospital sama.

“Saya sempat bertemu dengan keluarga seorang lagi mangsa Mohd Tarmizi Shuib, 42, pagi tadi (waktu tempatan).

“Kemungkinan Tarmizi esok boleh balik tapi anaknya seorang lagi (Mohd Haziq) masih hilang. Keluarganya sepatutnya hari ni pergi buat pengecaman mayat kerana ada satu lagi mayat belum dikenal pasti.

“Sepatutnya hari ni tapi tak jadi lagi, tak tahu sebab apa. Saya tanya mereka dan mereka kata belum buat lagi, mungkin esok (hari ini) buat. Ramai keluarganya datang ke hospital,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini ibunya, Marina Hamzah, 46, telah menyerahkan gambar dan nama anak sulungnya itu kepada polis New Zealand bagi memudahkan usaha mengesan remaja berkenaan dibuat.

Dalam kejadian itu Mohd Haziq mengikut bapanya, Mohd Tarmizi ke masjid pada hari kejadian sebelum dilaporkan hilang selepas kejadian tembakan. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.