Umno Titiwangsa Mahu Polis Siasat Pemfitnah Johari

Anggota Umno Bahagian Titiwangsa dan gabungan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Parlimen Titiwangsa hari ini membuat laporan polis berhubung fitnah terhadap Menteri Kewangan Kedua yang juga Anggota Parlimen (MP) Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Timbalan Ketua Bahagian Umno Titiwangsa Datuk Affendi Zahari berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi antara lain meminta polis melakukan siasatan dan mengenal pasti pihak yang membuat fitnah terbabit.

“Terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggantung ‘bunting’ dan ‘banner’ di beberapa lokasi di kawasan Parlimen Titiwangsa seperti Kampung Baru dan Keramat yang memaparkan perkataan-perkataan berunsur hasutan dan fitnah terhadap nama baik dan imej MP Titiwangsa.

“Kami harap polis akan melakukan siasatan terperinci,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis, di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Polis IPD Dang Wangi, ACP Shaharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan tersebut.

Sebelum ini dilaporkan Johari menyifatkan tindakan pihak tertentu memasang gegantung menggesa beliau tidak dicalonkan pada pilihan raya umum akan datang sebagai asam garam politik.

Katanya beliau tidak terperanjat dengan perkara itu dan yakin masih mampu meraih sokongan pengundi sekiranya dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.

Pada PRU13, Johari menewaskan calon PAS, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi dengan majoriti 866 undi.

Semalam, akar umbi UMNO Titiwangsa menafikan pembabitan ‘orang dalam’ untuk menjatuhkan Johari.

Ini susulan gambar gegantung antaranya tertera ‘Saya No!! To DJ’ , #TolakJohariGhani #asalbukanjoeghani yang tersebar menerusi laman sosial dikhabarkan digantung di sekitar kawasan Chow Kit dan Keramat. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.