Sukar Selesai Isu Air Di Selangor Jika Azmin Tak Faham Beza Air Mentah dan Air Terawat

KUALA LUMPUR – Krisis bekalan air yang menghantui penduduk di Selangor dan Lembah Klang tidak akan selesai selagi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali tidak faham perbezaan antara air mentah di empangan dengan air terawat.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, hujah Azmin yang hendak berdabik dada dengan data jumlah air mentah di empangan sebenarnya tidak membantu dalam penyelesaian masalah bekalan air terawat.

“Nampaknya sukar untuk menyelesaikan krisis air di Lembah Klang. Pentadbiran negeri yang membekalkan air ke Lembah Klang masih belum jelas beza antara isu air mentah dengan air terawat! Macam manalah saya nak bantu nak selesaikan masalah air!,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohamed Azmin ketika berucap di Karnival Himpunan Rakyat yang berlangsung di Stadium Shah Alam menyatakan mahu mencampak Zaini ke dalam empangan sebagai hendak membuktikan air di Selangor adalah mencukupi.

Bagaimanapun, kenyataan yang dibuat oleh Mohamed Azmin itu ditempelak banyak pihak kerana tidak berguna empangan yang penuh dengan air mentah sekiranya bekalan air terawat tidak sampai ke rumah-rumah di Selangor dan Lembah Klang.

Krisis bekalan air di Selangor pada bulan ini merupakan antara terburuk dalam sejarah kerana telah menjejaskan lebih dua juta pengguna di Lembah Klang dan Selangor dengan membabitkan 498 kawasan.

Punca utama krisis itu berterusan adalah berikutan kedegilan Kerajaan PKR Selangor yang enggan melengkapkan perjanjian penstrukturan semula industri air sehingga mengakibatkan kerja-kerja penaiktarafan paip dan infratruktur bekalan air terawat tidak dapat dilaksanakan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.