Cukai SST Pakatan Lebih Bebankan Rakyat, Tidak Masuk Akal Untuk Masa Depan

Pakatan Harapan telah melancarkan manifesto pilihan raya awal bulan ini menyatakan bahawa mereka akan mengembalikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) selepas memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran.

Sepertimana sebelum ini Perdana Menteri telah menyatakan bahawa langkah itu hanya akan menyebabkan Malaysia menjadi negara defisit dan bakal menjadi seperti Greece dan Itali, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri Subromaniam Tholas semalam menegaskan kepada The Star bahawa mengembalikan semula SST hanya akan menyebabkan harga barangan menjadi semakin mahal.

Subromaniam berkata GST telah menghapuskan cukai berganda di bawah SST, dan berpendapat bahawa mengembalikan cukai tersebut akan menyebabkan kesan yang lebih berganda.

Ini kerana katanya, para peniaga akan cuba lagi menggaut keuntungan dan kita akan melihat satu lagi pusingan inflasi ekoran perubahan dalam sistem percukaian, sementara pelanggan terpaksa menanggung kos dan mereka akan dikenakan harga yang lebih tinggi.

“Di bawah GST, terdapat ketelusan yang lebih tinggi kerana pengguna akan tahu sama ada barang-barang yang diambil adalah tertakluk kepada cukai dan jumlah yang dibayar,” jelasnya, menekankan bahawa GST juga mengurangkan kegiatan dalam pasaran gelap.

“Siapa yang anda cuba lindungi? Perniagaan yang menyalahi undang-undang yang menyembunyikan dan menyimpan beberapa akaun?” soalnya yang memiliki Ijazah Kepujian dalam jurusan Fizik Nuklear dan Kewangan.

Perkara ini turut ditekankan dalam laporan Kwong Wah Daily dan diterjemahkan oleh Malaysian Chinese News menyatakan walaupun dalam bajet alternatif, Pakatan mencadangkan supaya mereka menaikkan cukai pendapatan korporat, cukai keuntungan harta, dan cukai jalan untuk mengimbangi kerugian pendapatan melalui pemansuhan GST, “Idea semacam ini tidak akan meringankan beban orang ramai.”

“Mengembalikan semula SST akan membawa kepada aliran keluar wang “haram”. Selepas 2015, Malaysia tidak lagi menjadi antara 10 negara teratas dengan aliran keluar wang haram tertinggi.

“Ini membuktikan bahawa GST adalah mekanisme cukai yang lebih baik kerana peniaga menjadi lebih berdaya saing tanpa perlu menghadapi masalah percukaian berganda,” kata laporan itu.

Sehingga hari ini, GST telah dilaksanakan di lebih 160 buah negara dan tiada satu pun negara berkenaan membuat pusingan “U” untuk kembali kepada SST, kerana ia terbukti sebagai satu sistem percukaian yang berkesan dan progresif.

Setiap tahun, Malaysia mengumpul RM40 bilion melalui GST, dengan pendapatannya disalurkan kepada rakyat, untuk pembangunan, penjagaan kesihatan, infrastruktur, dan subsidi-subsidi lain.

Subromaniam berkata, “GST juga merupakan cukai untuk masa depan apabila seluruh dunia bergerak ke arah e-dagang dan ekonomi digital.

“Ia berpotensi besar dari segi pendapatan, jadi tidak masuk akal untuk kembali ke SST, yang mana ia tidak sesuai kepada cukai ekonomi baharu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.