Beri Peluang Saya Debat Dengan Mahathir Kata Nazri

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan debat antara beliau dengan Dr Mahathir akan tetap diadakan meskipun dibantah pihak polis.

Nazri yang mempersoalkan tindakan polis kerana menyekat penganjuran debat itu berkata, program berkenaan bukan rusuhan, sebaliknya wacana untuk membincangkan isu semasa, lapor portal Watan.

“Saya minta Tun Dr Mahathir Mohamad terus hadir kerana debat ini tetap diadakan… apa nak jadi, jadilah.

 

“Saya bagi jaminan debat ini tidak akan membabitkan pelakuan keganasan, baik daripada pengundi di Padang Rengas mahu pun penyokong Dr Mahathir.

“Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir ada buat program di Kampung Ajil, Terengganu untuk menjelaskan isu semasa, tetapi langsung tidak mendapat tentangan polis.

“Oleh itu, saya tidak faham kenapa permit untuk debat saya dengan Dr Mahathir tidak diluluskan, kononnya gagal menepati syarat dalam Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Hari ini Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, yang dilaporkan berkata, permohonan debat ditolak atas empat alasan iaitu lewat mengemukakan borang pemberitahuan seperti dinyatakan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Mengikut seksyen berkenaan, katanya, penganjur iaitu Kumpulan Media Karangkraf hendaklah membuat pemberitahuan kepada Ketua Polis Daerah 10 hari sebelum perhimpunan.

Nazri berkata, debat itu membabitkan dua pemimpin yang mempunyai latar belakang perkhidmatan dalam kerajaan, justeru tidak timbul kebimbangan mengenai aspek keselamatan penduduk di Padang Rengas.

“Saya bagi jaminan kepada polis bahawa saya tidak akan meninggikan suara atau bersikap kurang ajar dengan Dr Mahathir, sebaliknya menghormati beliau kerana usianya yang lebih tua.

“Berilah peluang untuk saya berdebat dengan Dr Mahathir kerana kita sudah dapat kebenaran rasmi untuk menggunakan dewan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.