Tuntut RM100 Juta, Shahnaz Fail Rayuan Balas

KUALA LUMPUR – Shahnaz A Majid hari ini memfailkan rayuan balas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur yang mengarahkan bekas suaminya Datuk Seri Mahmud Bekir Taib membayar mutaah RM30 juta.

 

Notis permohonan rayuan balas itu difailkan di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, selepas prosiding hari ini di mana Shahnaz mendesak untuk memasukkan semula tuntutan sebanyak RM100 juta.

 

Shahnaz yang tidak berpuas hati dengan anugerah RM30 juta itu juga memohon mahkamah untuk meningkatkan jumlah berkenaan kepada RM100 juta, iaitu jumlah yang perlu dibayar oleh Bekir, anak bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

 

Sebelum itu, peguamnya, Rafie Mohd Shafie dan Akbardin Abdul Kader turut membantah keputusan pendaftar Khamis lalu yang membenarkan penggantungan sementara pembayaran mutaah M30 juta Bekir kepada bekas isterinya itu.

 

Hadir di hadapan hakim syarie, Mohamad Abdul Karim Wahab, Rafie berkata pendaftar tidak boleh memberikan suatu perintah interim kerana hanya hakim atau mahkamah yang boleh berbuat demikian.

 

“Kami menerima notis rayuan dan permohonan penangguhan tetapi kami membantah perintah yang diberikan oleh pendaftar kerana ia tidak terpakai,” katanya.

 

Akbardin mendakwa bahawa pendaftar hanya boleh memberikan kebenaran atau kelulusan bagi Bekir memfailkan permohonan penangguhan, tetapi tidak memberikan perintah interim.

 

Hakim Karim berkata beliau akan membuat keputusan mengenai perkara itu pada Jumaat ini, apabila beliau mendengar permohonan Bekir untuk mendapatkan penangguhan.

 

Pada 10 Mac lalu, hakim yang sama memerintahkan Bekir membuat pembayaran mutaah kepada Shahnaz.

 

Beliau mengarahkan bayaran – melalui tiga peringkat dengan RM10 juta setiap satu – mesti diselesaikan sebelum 31 Mac.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.