Panas Melampau, Sekolah Di Kedah, Perlis Diarah Tutup Sementara

KUALA LUMPUR – Semua sekolah di Kedah dan Perlis ditutup selama dua hari bermula esok berikutan cuaca panas melampau.

 

Arahan penutupan itu diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid di sini, sebentar tadi.

 

Beliau berkata, keputusan dibuat selepas mendapatkan nasihat daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

 

Katanya, penutupan itu hanya membabitkan murid sahaja.

 

“Arahan itu tertakluk kepada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

 

“Bagaimanapun, guru mesti menghadiri sekolah seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan) daripada Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, di sini.

 

Mengulas lanjut mengenai penutupan itu, pihak sekolah katanya tidak perlu mengganti cuti terbabit.

 

Kementerian juga akan sentiasa memantau keadaan dari semasa ke semasa jika sekolah di negeri lain turut mencatatkan suhu melampau melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

 

“Pengumuman lanjut akan diadakan berdasarkan keadaan semasa,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.