Waris Bayi Lima Bulan Dicari

SELANDAR – Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Alor Gajah mencari waris bayi perempuan berusia lima bulan bagi menyelesaikan proses sijil kelahiran daftar lewat dan hak penjagaan.

 

Pegawai Pelindung Kanak-kanak JKM Daerah Alor Gajah, Zalinah Sahak berkata, bayi dipercayai berketurunan Melayu itu diserahkan seorang wanita Melayu kepada pasangan suami isteri dari negeri ini, Oktober tahun lalu di luar Bangunan PKNS Bangi.

 

Menurutnya, bayi itu diserahkan untuk dijaga pasangan terbabit setelah mendapat nombor telefon mereka melalui sebuah laman sesawang anak angkat.

 

Katanya, kemudian mereka sekali lagi bertemu wanita berusia lingkungan 20an dipercayai ibu bayi terbabit bagi urusan daftar sijil lahir di Masjid Batu Gajah, Perak.

 

“Bagaimanapun ketika di masjid itu, perempuan dikenali sebagai Syafikah meminta keluar sebentar dan selepas itu tidak munculkan diri, malah dia juga tidak berhubung dengan pasangan itu sehingga sekarang.

 

“Kita memohon agar ibu atau waris bayi ini tampil ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Alor Gajah untuk memudahkan urusan daftar lewat kelahiran kanak-kanak ini.

 

“Bayi ini perlu didaftarkan dan buat masa ini urusan itu tergendala disebabkan tiada maklumat lengkap,” katanya.

 

Pihak JKM berharap mana-mana individu yang mengetahui berkaitan kes ini tampil ke JKM Alor Gajah atau menghubungi Pejabat JKM Alor Gajah di talian 06-5561267. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.