Misteri Tasik Chini

PEKAN – Mitos kewujudan piramid di Tasik Chini bukanlah perkara baharu kerana ia sudah menjadi `buah mulut’ penduduk setempat, terutama masyarakat Orang Asli sejak tahun 1980-an lagi.

 

Jika sebelum ini, Tasik Chini dikaitkan dengan legenda ‘Naga Sri Gumum’, dakwaan terdapat binaan piramid di sekitar tasik semula jadi kedua terbesar negara ini menambahkan lagi misteri yang melingkari tasik berkenaan.

 

Tasik Chini yang terletak kira-kira 100 kilometer dari bandar Kuantan mempunyai keluasan 5,026 hektar dan menjadi habitat 138 spesies flora dan 300 spesies hidupan bukan akuatik.

 

Selain itu, ada 144 spesies ikan air tawar direkodkan hidup di tasik berkenaan.

 

Dipisahkan oleh Sungai Pahang, Tasik Chini dan Tasik Bera adalah laluan utama penduduk dari hulu dan hilir sungai dengan merentasi Gugusan Kuala Semantan sehingga ke Kampung Singgora (nama lama untuk Pekan Maran).

 

Merangkumi 12 tasik atau lebih dikenali sebagai laut dalam kalangan penduduk setempat dan Orang Asli, dakwaan wujudnya tujuh piramid di kawasan tasik berkenaan tidak dinafikan atau disahkan oleh penduduk.

 

Peluang ke Tasik Chini dan bertemu penduduk serta Tok Batin perkampungan Orang Asli di sekitar tasik berkenaan, memberikan gambaran awal terhadap dakwaan itu.

 

Terdapat beberapa versi mengenai piramid dan kota lama Empayar Khmer yang dikatakan bertapak di kawasan tasik semula jadi ini antara tahun 802 hingga 1432.

 

Merujuk kepada sejarah, Empayar Khmer mencapai puncak kegemilangannya sekitar abad ke-13, sebelum berlaku perebutan kuasa antara pembesar hingga menyaksikan empayar itu berkubur pada abad ke-15.

 

Empayar yang berpusat di Funan dan Chenla, dimulakan oleh King Jayavarman II yang turut menggelar dirinya sebagai ‘Raja di Dunia’ atau ‘Raja Segala Raja’.

 

Ketika era kegemilangannya, Empayar Khmer bukan saja dikenali sebagai sebuah kerajaan yang mewah, bahkan turut menguasai bidang pembinaan serta kaya dengan pelbagai hasil seni yang mengagumkan.

 

Tinggalan empayar itu yang paling terkenal ialah Angkor Wat di Kemboja, yang menjadi mercu tanda tersohor dan menarik perhatian peminat sejarah dari seluruh dunia melakukan kajian terhadap binaan berkenaan.

 

Terdapat tiga fasa dalam empayar Khmer iaitu fasa pertama dari tahun 802 hingga 850 di bawah pemerintahan Raja Jayavarman II, fasa kedua diketuai Raja Suryavarman II (1113-1150) dan tahun 1181 hingga 1218 yang diperintah oleh Raja Jayavarman VII.

 

Empayar Khmer dipercayai mula memasuki Tanah Melayu antara tahun 1000 hingga 1100 iaitu ketika berlaku pertelingkahan dan perebutan kuasa di antara kerajaan lama Empayar Khmer dan Thailand.

 

BUNGA Teratai antara daya penarik pelancong dari luar negara terutama dari China dan Korea Selatan ke Tasik Chini. – Foto Halim Mat Ali

 

Walaupun tidak ada bukti jelas mengenai perkara ini, berdasarkan kajian pakar sejarah, tentera dari Empayar Khmer memasuki Tanah Melayu untuk membina kekuatan selepas gagal menguasai kawasan Lamphun (kini dikenali dengan nama Hariphunchai).

 

Menurut cerita penduduk sekitar Tasik Chini, tentera dari Empayar Khmer dikatakan membina kawasan kota di sekitar tasik berkenaan sepanjang mereka berada di situ.

 

Sekitar tahun 1994, Tasik Chini menjadi tumpuan pengkaji sejarah berikutan penemuan artifak dipercayai dari zaman Empayar Khmer.

 

Penemuan secara tidak sengaja oleh pekerja syarikat kontraktor yang diberi tanggungjawab membersihkan dasar tasik itu membuka laluan kepada kajian lebih mendalam mengenai kewujudan kota lama di sekitar tasik berkenaan.

 

Sehingga hari ini, belum ada bukti kukuh yang boleh mengaitkan kewujudan kota lama atau piramid di kawasan tasik berkenaan, atau di dasar tasik itu.

 

Kali terakhir kajian dijalankan bagi menjejak kewujudan kota Lama dan piramid ialah pada tahun 2007 oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai Profesor Datuk Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman (kini Profesor Emeritus dan menjawat jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan di UKM).

 

Beliau adalah seorang pakar arkeologi terkenal di negara ini dan pernah mengetuai beberapa ekspedisi di dalam dan luar negara bagi menjejak kewujudan kota lama di seluruh dunia.

 

Kumpulan itu melakukan kajian selama kira-kira dua minggu, sebelum dihentikan berikutan kekurangan dana. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.