Malaysia Masih Tunggu Tambahan Kuota Haji

GUAR CHEMPEDAK – Kerajaan masih menunggu keputusan rayuan berhubung penambahan kuota jemaah untuk musim haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

 

Jamil Khir berkata, biasanya keputusan itu hanya diketahui apabila musim haji hampir tiba.

 

“Pengurangan telah diputuskan kepada 22,320 jemaah haji sedangkan kebiasaannya kuota yang kita dapat ialah 28,900,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Kemahiran peringkat daerah Yan di Kompleks Fama Guar Chempedak, di sini, hari ini.

 

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini memberitahu pengekalan kuota yang dilaksanakan sejak 2013 itu berikutan kerja-kerja perluasan dan pembangunan Masjidil Haram di Makkah yang masih berjalan.

 

Sementara itu, seramai 28 jabatan dan agensi terutama institusi pengajian tinggi (IPT), menyertai Karnival Pendidikan dan Kemahiran yang diadakan bermula jam 8 pagi hingga jam 5 petang, hari ini.

 

Jamil Khir berkata, karnival ini menjadi platform untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapatkan maklumat mengenai tempat untuk mereka lanjutkan pelajaran. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.