Isteri Untuk Dijual Ikut ‘Trend’ Masa Kini – David Teo

Meskipun senario industri perfileman tanah air ketika ini masih belum pulih dan sambutan penonton terhadap karya pembikin filem tempatan masih lagi dingin, Metrowealth (MIG) tetap opitimis menerbitkan filem baru.

 

Terbaharu, MIG tampil dengan filem bergenre romantik komedi berjudul Isteri Untuk Dijual.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG) dan penerbit terkenal, David Teo, judul filem ke-111 terbitan syarikatnya itu bukan sengaja mencetuskan kontroversi sebaliknya, ia sebagai tarikan kepada penonton.

 

“Mungkin ada yang akan berkata, tiada tajuk lainkah? Kering idea? Tapi sebenarnya tajuk ini bukan mahu cetus apa-apa kontroversi.

 

“Sebagai penerbit dan pembikin filem, kita memberikan apa yang penonton mahu. Kita sentiasa menghormati kehendak penonton.

 

“Misalnya tajuk filem ini Isteri Untuk Dijual, kalau lima atau 10 tahun dulu, judul sebegini mungkin tidak sesuai tetapi sekarang ia adalah trend masa kini.

 

“Daripada kajian yang dibuat, memang penonton lebih tertarik dengan judul sebegini.

 

“Apabila ia sampai kepada khalayak dan diterima, ertinya kami sudah berjaya menghiburkan orang,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan doa selamat filem tersebut di Petaling Jaya, Selangor, kelmarin.

 

Isteri Untuk Dijual merupakan filem arahan Eyra Rahman dan buat pertama kalinya menggandingkan Nora Danish dengan Kamal Adli.

 

Mengenai pemilihan pelakon utamanya, David menyatakan Nora adalah pilihan tepat memandangkan aktres itu bukan saja mempunyai pengaruh besar tetapi dapat menjayakan wataknya dengan lebih berkesan.

 

“Nora pernah ada pengalaman berkahwin, jadi saya percaya dia mampu bawakan watak sebagai isteri dengan baik. Kalau mahu ambil pelakon yang hendak cipta nama misalnya seperti Atikah Suhaimie, saya rasa kurang sesuai.

 

“Sementara Kamal pula, dia muda dan masih belum berkahwin, kenalah dengan karakternya dalam filem ini,” katanya.

 

Menjalani penggambaran bermula hari ini di sekitar Lembah Klang, Isteri Untuk Dijual mengisahkan Anabella (Nora) yang asalnya model sambilan majalah sebelum menjadi terkenal sebagai penghias kulit majalah terbaharu syarikat Kamal Reza (Kamal).

 

Perkenalan pertama antara mereka telah menimbulkan bibit cinta dan akhirnya mereka berkahwin. Namun, hari demi hari perkahwinan Reza dan Bella dilanda masalah. Apakah kesudahan kisah pasangan suami isteri ini?

 

Selain Nora dan Kamal, filem ini turut menampilkan barisan bakat baru seperti Vicha (Saywho), Azwan Kombos dan Anam Azizani.

 

Dalam perkembangan lain, MIG turut menantikan beberapa judul filem yang bakal berada dipawagam antaranya Hantu Bungkus Ikat Tepi pada 9 April, Abang Lejen pada 16 April, Jalan Puncak Alam pada 7 Mei ini.

 

Selain beberapa lagi filem yang sedang menantikan tarikh tayangan seperti Badi, Banglo Berkunci, Suamiku Jatuh Dari Langit, Waris Most Wanted dan Keranda Tokwan Terbang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.