Hina Hudud: Semua Yang Terlibat Akan Disiasat – Ketua Polis Negara

Kuala Lumpur – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak polis akan memanggil semua yang terlibat dalam isu klip video bertajuk “Hudud Isi Periuk Nasi?” sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat baru-baru ini.

 

Khalid melalui akaun twitter itu turut berkata mereka yang melakukan ugutan bunuh dan rogol terhadap penyampai BFM Radio, Aisyah Tajuddin akan turut dipanggil.

 

“Kes BFM, @PDRMsia akan siasat kedua2 pihak, Penyiar BFM dan yg ugut Penyiar. Penulis Skrip Penyiar juga akan di panggil” tulisnya sebentar tadi.

 

Ugutan tersebut dibuat terhadap Aisyah susulan klip video yang memaparkan wartawan itu membangkitkan persoalan mengenai pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II yang diluluskan baru-baru ini oleh kerajaan PAS Kelantan.

 

Dalam klip video kerjasama antara BFM Media dan Projek Dialog di laman YouTube BFM Kupas itu, Aisyah berkata agama digunakan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu yang lebih penting, seperti ekonomi dan pentadbiran.

 

 

Beliau juga mempersoalkan keadaan mangsa banjir di Kelantan, dan juga peningkatan bilangan kes perceraian, penggunaan dadah dan penggunaan pornografi di negeri itu.

 

Terdahulu Khalid berkata pihaknya akan mengambil tindakan serta merta terhadap mana-mana pihak yang menyuarakan pandangan sehingga mengancam keselamatan awam.
Menurutnya walaupun pihaknya kerap memberi amaran berhubung perkara itu, namun masih terdapat segelintir pihak yang berbuat demikian.

 

“Saya telah beri amaran banyak kali khususnya kepada pemimpin politik serta badan bukan kerajaan supaya berhati-hati bila suarakan pendapat dan pandangan khususnya di media sosial kerana ia boleh menjurus kepada keadaan yang mengancam keselamatan awam.

 

“Saya rasa sekarang ini saya tidak mahu lagi beri amaran sebaliknya mana-mana individu yang melanggar mana-mana peraturan, kita akan ambil tindakan serta merta…dan mereka ini jangan pula nak berselindung di sebalik hak kebebasan bersuara,” katanya ketika wawancara khas bersama media sempena sambutan Hari Polis ke-208 semalam.

 

bapa aishahSementara itu bapa Aisyah melontar persoalan sama ada Malaysia masih selamat untuk didiami selepas ancaman dibuat terhadap anak perempuannya.

 

Professor Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi dalam satu tulisannya semalam berkata: “Adakah negara ini selamat untuk didiami anak-anak kita? Sekiranya satu pandangan yang diberikan terhadap isu seperti hudud, demokrasi dan pilihan raya bersih boleh mencetuskan kemarahan dan ugutan bunuh, rogol dan membakar orang hidup-hidup, apakah yang digambarkan tentang negara, rakyat dan kepimpinan kita? Dari mana budaya ini datang?”

 

“Hatinya remuk sekali pagi itu dan saya terpaksa memanggil orang seperti Marina Mahathir dan Ambiga Sreenevasan untuk bercakap dengannya.

“Peranan saya ialah untuk mengembalikan semangatnya. Dia seorang yang bersemangat tinggi dan tanggungjawab saya adalah untuk menaikkan semangatnya,” katanya kepada sebuah portal.

 

Menurut Tajuddin anak perempuannya yang berusia 27 tahun itu masih muda dan tidak biasa dengan serangan seperti itu.

 

Lebih penting lagi, katanya, ancaman itu menyedarkan tentang pendekatan reaksioner masyarakat Melayu-Islam bertindak balas dalam hal-hal agama.

 

Tambahnya, soalan juga perlu bertanya mengapa intelektual Melayu-Islam tidak bersuara menentang respons reaksioner itu.

 

Ekoran polemik yang tercetus itu BFM terpaksa menarik balik video tersebut dan memohon maaf dengan menyatakan mereka tidak ada niat untuk mengkritik hudud dan ia hanya untuk membangkitkan soalan yang sah mengenai pelaksanaannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.