Gadis Mumbai Seret Lelaki Yang Cuba Mencabulnya Ke Balai Polis

Mumbai – Ketika kes rogol dan cabul dikhautiri semakin berleluasa di seluruh India, seorang gadis di negeri Maharashtra telah memberanikan diri untuk berdepan sendiri dengan pihak yang mengancam keselamatannya, lapor media tempatan.

 

Tanpa mengharapkan bantuan masyarakat sekeliling, Pradnya Mandhare yang diserang seorang lelaki mabuk di stesen kereta api Kandivali, Mumbai minggu lalu bukan sahaja melawan semula malah telah menggenggam rambut lelaki berkenaan dan menyeretnya ke balai polis berdekatan.

 

Pradnya berusia 20 tahun yang merupakan penuntut Sarjana Media Massa tahun ketiga di Kolej Sathaye, Vile Parle itu berhenti di stesen tersebut sewaktu mahu pulang ke rumahnya di Borivoli.

 

Pada pukul 2.30 petang, sementara menunggu kereta api yang seterusnya. Seorang lelaki mabuk mendekatinya dan mula meramas tubuhnya secara paksa.

 

“Apabila saya cuba mengelakkannya, dia memegang saya. Pada mulanya saya terkejut selama beberapa saat, namun saya kemudiannya memukul lelaki itu dengan beg saya,” ujarnya kepada pihak media tempatan.

 

Lebih mengejutkan, tiada seorangpun anggota masyarakat yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu. Pradnya akhirnya mendapat kekuatan lalu menggenggam rambut lelaki tersebut lalu menyeretnya ke balai polis keretapi yang berhampiran.

 

“Kebanyakan wanita akan jadi takut untuk berjumpa pihak polis kerana proses memfailkan aduan adalah sangat panjang. Tapi itu tidak membuatkan saya teragak-agak untuk membawanya ke pihak berkuasa.

 

“Setiap wanita perlu melawan semula dalam kes-kes seumpamanya dan tidak harus berdiam diri. Wanita bukan objek untuk disentuh sembarangan,” ujar Pradnya. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.