Balu Anggota Polis Di Halau Dari Kuarters IPD?

Kuala Lumpur – Beberapa keping gambar menunjukkan nasib balu anggota berpangkat sarjan yang dihalau dari Kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menimbulkan kemarahan dalam kalangan pengguna Facebook.

 

Rata-rata pengguna laman sosial itu menyifatkan insiden tersebut sebagai suatu perkara yang dianggap zalim kerana bertindak ke atas balu seorang anggota yang pernah menabur jasa sebagai anggota pasukan keselamatan.

 

Gambar-gambar tersebut yang dimuat naik oleh Kamal Bonzai mendapat komen yang banyak dan kebanyakan komen itu mengecam tindakan Ketua Polis Petaling Jaya yang telah mengarahkan anggotanya supaya mengangkat keluar barang-barang di dalam kuarters yang didiami balu Allahyarham Sarjan Azman atau lebih dikenali sebagai Man Ayam.

 

Berdasarkan tulisan Kamal dalam akaun Facebooknya, barang-barang yang dikeluarkan dari kuarters tersebut telah bertaburan dan banyak yang hilang.

 

Difahamkan, balu tersebut juga telah membuat laporan polis berhubung insiden yang dialaminya itu.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim melahirkan kesal dengan tuduhan yang dilontarkan oleh orang ramai terhadap dirinya dilaman sosial tersebut.

 

Menceritakan mengenai kedudukan sebenar, beliau memberitahu, balu Allahyarham Sarjan Azman itu telah diberikan notis sebanyak dua kali sebelum ini untuk dia keluar dari kuarters berkenaan katanya kepada sebuah portal berita online.

 

Notis pertama telah dikeluarkan pada Jun 2014 yang mengarahkannya supaya mengosongkan kuarters tersebut pada Ogos tahun yang sama.

 

Namun disebabkan balu tersebut tidak mengendahkan arahan tersebut, beliau telah mengeluarkan notis kedua pada Februari tahun ini.

 

“Bagaimanapun, balu berkenaan masih lagi mengingkarinya dan disebabkan itu kita bertindak mengeluarkan barang-barang dalam kuarters yang didiami di tingkat tiga.

 

“Arahan supaya balu itu keluar adalah disebabkan dia telah hilang kelayakan untuk tinggal di kuarters milik kerajaan selepas kematian suaminya sejak setahun lalu.

 

“Kalau hendak diikutkan dia sepatutnya telah keluar lama tetapi saya masih lagi berkompromi dan memberikan masa untuknya mencari tempat kediaman yang lain.

 

“Ramai lagi anggota saya yang tidak mempunyai rumah dan terpaksa menyewa di luar. Jika dia keluar anggota saya yang tidak memiliki kediaman itu boleh tinggal di situ,” katanya.

 

Tambah Azmi, balu atau keluarga seseorang anggota yang hilang kelayakan untuk mendiami kuarters kerajaan harus mengosongkan kediamannya itu selewat-lewatnya selepas sebulan dan hanya dalam kes tertentu seperti kematian mereka diberi peluang selama dua bulan untuk berbuat demikian.

 

Berkenaan gambar menunjukkan barang-barang yang diangkat berterabur dia atas lantai, Azmi berkata, itu bukanlah barang yang rosak sebaliknya ia adalah sebahagian yang terjatuh semasa diangkat dan tidak berlaku kerosakan.

 

 

Berikut adalah kenyataan penuh Ketua Polis Selangor berhubung perkara ini.

 

TINDAKAN MENGOSONGKAN SATU UNIT RUMAH DI PERUMAHAN POLIS, BALAI POLIS SEA PARK, PETALING JAYA PADA 17 MAC 2015.

1. Susulan tersebarnya gambar-gambar dan maklumat yang tidak tepat dalam media sosial mengenai tindakan diatas, berikut adalah maklumat s
ebenar mengenai perkara
tersebut.

 

2. Allahyarham Sjn. Azman yang tugas akhirnya adalah di Cawangan Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, telah meninggal dunia pada 24 Disember 2013 akibat kemalangan jalan raya. Allahyarham telah meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak masing-masing berumur 16, 22 dan 23 tahun. Salah seorang anaknya masih belajar di Universiti Malaya dan seorang lagi masih bersekolah.Mereka sekeluarga mendiami satu unit rumah di Perumahan Polis Balai Polis Sea Park, Petaling Jaya.

 

3. Ekoran kematian allahyarham Sjn.Azman, kebajikan balu dan anak-anaknya telah diberi perhatian sewajarnya olih PDRM.Balu allahyarham telah menerima pelbagai bantuan dan imbuhan dari PDRM dan tabung-tabung yang diperuntukkan kepada seseorang anggota polis seperti: (1) Gratuiti : RM 85,000, (2) Insurans Koperasi Polis: RM 30,000; (3) Insurans Kerajaan : RM18,000; (4) Tabung Khariat Kematian Kontinjen Selangor : RM12,000; (5) Tabung Kelab Polis Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Petaling Jaya : RM1,500; dan (6) Tabung Surau IPD Petaling Jaya : RM 500.00. Jumlah keseluruhan bantuan dan imbuhan yang diterima balu allahyarham adalah sebanyak RM147,000 tidak termasuk derma dan sumbangan peribadi dari kalangan pegawai dan anggota.Disamping itu, beliau juga menikmati wang pencen bulanan allahyarham sebanyak RM2,333.

 

4. Allahyarham juga ada meninggalkan kepada balunya beberapa harta sepencarian yang antaranya sebuah rumah di Ipoh, Perak dengan nilaian harga melebihi RM100,000 serta sebuah kereta jenis Perodua Myvi. Dengan jumlah imbuhan,bantuan dan pencen bulanan yang diterima sedikit sebanyak tentunya dapat membantu balu allahyarham dan anak anaknya meneruskan kehidupan mereka.

 

5. Mengikut peraturan yang telah ditetapkan pasukan, sekiranya seseorang pegawai atau anggota polis meninggal dunia, balu/keluarganya yang mendiami perumahan polis, perlu mengosongkan atau berpindah keluar dari perumahan kerajaan dalam masa satu bulan.Atas dasar kebajikan dan belas ikhsan, Pegawai Pemerintah bolih mengguna kuasa dan budi bicara untuk membenarkan balu mendiami perumahan kerajaan sehingga tempuh tiga(3) bulan dari tarikh kematian suami.

 

6. Dalam kes ini, allahyarham Sjn.Azman meninggal dunia pada 24 Dis.2013.Sejak tarikh tersebut, balu allahyarham dan tiga anak beliau telah terus mendiami satu unit rumah(JKR 1898/6) Perumahan Polis, Balai Polis Sea Park, Petaling Jaya sehingga 17 Mac 2015 iaitu selama lebeh kurang SATU(1) TAHUN dan TIGA(3) BULAN dari tarikh allahyarham Sjn.Azman meninggal dunia, secara PERCUMA.Tindakan mengosongkan unit rumah yang didiami balu allahyarham olih pihak Ketua Polis Daerah(KPD) Petaling Jaya pada 17 Mac 2015 terpaksa dilakukan kerana balu allahyarham enggan berpindah keluar atau mengosongkan rumah tersebut atas alasan seorang anaknya masih belajar di Universiti Malaya. Beliau tidak mengendahkan notis atau surat pemberitahuan olih pihak KPD.Notis atau surat pemberitahuan pertama olih pihak KPD kepada balu allahyarham Sjn.Azman diberi pada 23 Jun 2014 ( iaitu selepas 6 bulan dari tarikh kematian suaminya ) dan notis kedua diberi pada 23 Feb 2015.

 

7. Atas sikap enggan bekerjasama dan tidak memperdulikan notis yang telah diberikan kepada balu allahyarham disamping tempuh masa yang sudah begitu lama sejak tarikh kematian suaminya, pada 17 Mac 2015 KPD Petaling Jaya telah mengarahkan anggota anggotanya memasuki rumah berkenaan dan memindah keluar barang barang milik balu allahyarham.Tindakan ini dilakukan setelah balu allahyarham dihubongi yang pada ketika itu sedang bercuti di Ipoh.Barang barang dan peralatan yang masih berkeadaan baik seperti perabot, sofa, penghawa dingin, peralatan dapur, barangan elektrik dan sedikit pakaian telah diasingkan dimana pihak KPD telah menyediakan sebuah lori bagi tujuan pemindahan kemana mana lokasi yang diputuskan olih balu allahyarham.Manakala barangan yang sememangnya telah rosak dan tidak lagi digunakan, diletak dibahagian bawah bangunan perumahan tersebut.Gambar gambar barangan ini telah dirakam olih individu yang tidak bertanggung jawap, memberi gambaran seolah olah tindakan memindah keluar barangan milik balu allahyarham dari rumah tersebut dilakukan secara kasar dan rakus.

 

8. Disebalik melihat aspek kebajikan terhadap balu dan anak anak allahyarham Sjn.Azman, KPD Petaling Jaya juga memikul tanggungjawap dan akauntabiliti tentang soal kebajikan terhadap 1500 orang anggota dibawah pimpinan dan pentadbiranya.Sehingga kini terdapat seramai lebeh kurang 670 anggota anggota Polis daerah Petaling Jaya yang terpaksa menyewa rumah luar dengan kadar sewaan yang tinggi (jauh melebehi elaun sewa rumah yang mereka perolehi) dan dalam jarak yang jauh dari tempat kerja yang juga melibatkan kos pengangkutan harian.Menjadi keutamaan KPD seberapa yang bolih, untuk menempatkan anggota anggotanya diperumahan kerajaan yang ‘available’ bagi meringankan beban kos sara hidup anggota anggota dan keluarga yang masih berkhidmat.Ini penting dalam usaha pasukan menyediakan kemudahan asas kepada anggota anggotanya yang bolih mendorong peningkatan prestasi perkhidmatan mereka.

 

 

9. Adalah diharapkan dengan penjelasan ini orang ramai atau individu individu terbabit dapat menilai samada aspek kebajikan balu dan anak anak allahyarham Sjn.Azman telah diberi perhatian sewajarnya olih PDRM atau sebaliknya. Tindakan KPD Petaling Jaya adalah wajar, tidak sama sekali dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira aspek kebajikan individu berkenaan.Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak lagi memutarbelitkan isu ini tanpa memahami keadaan yang sebenar.PDRM sentiasa menjaga kebajikan warganya.

 

 

Sekian, terima kasih.

 

KETUA POLIS SELANGOR.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.