KUALA LUMPUR -Kerajaan hari ini melancarkan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu program ini akan memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutamanya untuk pengusaha Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dan sektor informal.
Menurut beliau, program ini merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti untuk dimanfaatkan oleh setiap golongan usahawan.
“Semasa lawatan saya ke ladang Farm Fresh di Muadzam Shah baru-baru ini, saya sempat berinteraksi dengan usahawan kecil dan besar, seterusnya memberi gambaran jelas akan peranan mereka dalam menyediakan peluang pekerjaan, merapatkan jurang pendapatan dan menangani cabaran jangka masa panjang seperti sekuriti makanan.
“Saya percaya sumbangan dan peranan PMKS tempatan di seluruh negara amat penting dalam memulihkan ekonomi negara.
“Justeru, Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan keupayaan sektor perniagaan terpelihara, terutamanya bagi PMKS, yang terjejas ekoran pandemik COVID-19,” kata Perdana Menteri pada Isnin.
Ismail Sabri memberitahu Majlis Perasmian Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia pada hari ini merupakan petanda yang jelas komitmen Kerajaan dalam memastikan ekosistem PMKS terus berdaya saing.
“Bagi perniagaan mikro dan kecil, Kerajaan peka akan keperluan akses kepada pembiayaan dengan kadar faedah yang rendah. Dalam perkara ini, Skim Pembiayaan Informal dan Mikro atau SPIM, akan menawarkan pinjaman sehingga RM10 ribu pada kadar faedah 0 peratus dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal. Saiz dana untuk program ini sahaja berjumlah RM200 juta.
“Bagi usahawan agro-makanan pula, skim mikro kredit oleh Agrobank akan menawarkan pinjaman sehingga RM75 ribu pada kadar 0 peratus untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan.
“Bagi perniagaan yang lebih matang, institusi kewangan seperti SME Bank akan menawarkan pinjaman sehingga RM10 juta di bawah skim IBS Promotion Fund 2.0 dan RM1 juta di bawah Program Pembiayaan Usahawan Muda 2.0 (atau YEF 2.0). Secara kolektif, saiz dana untuk kedua-dua skim ini berjumlah RM300 juta.
“Untuk syarikat yang berdaya maju namun mempunyai kekangan mendapatkan dana baharu, Kerajaan dan institusi kewangan telah merangka suatu pembiayaan bentuk baharu yang lebih anjal bagi meluaskan keupayaan untuk memulihkan perniagaan,” kata beliau.
Salah satunya ialah melalui kaedah equity crowd funding dan peer- to-peer financing yang akan disokong dengan peruntukan RM80 juta secara geran padanan untuk Malaysia Co-investment Fund, tambahan kepada pelaburan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad atau BPMB, sebanyak RM100 juta,” ujar Ismail Sabri.
Perdana Menteri memaklumkan bagi membantu syarikat yang berdepan masalah keberhutangan atau gearing yang tinggi, kaedah pendanaan melebihi RM2.2 bilion melalui pelaburan ekuiti dan quasi-equity turut tersedia.
“Kaedah ini diterajui oleh SME Bank dengan dana bernilai RM600 juta. BPMB juga akan menawarkan Skim RESET, atau Rehabilitation and Support Through Equity, dengan saiz dana sebanyak RM500 juta.
“Bank Negara Malaysia atau BNM, juga menyediakan Business Recapitalisation Facility bernilai 1 bilion ringgit untuk tujuan yang sama.
“Secara keseluruhannya, sejumlah RM14.2 bilion dana tersedia untuk PKS. Untuk ketersediaan dana yang berterusan, dana khas BNM terutamanya Targeted Relief and Recovery Facility dan Agrofood Facility telah ditingkatkan secara kolektif sebanyak 2.5 bilion ringgit kepada RM10 bilion. Jumlah ketersediaan pelbagai dana PKS BNM pada masa ini adalah sebanyak RM10 bilion,” jelas beliau.
Dalam perkara ini katanya, skim di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan, atau SJPP, akan menyediakan jaminan untuk pembiayaan yang dijadualkan dan distruktur semula dengan had jaminan bernilai RM 22 bilion.
“Ini akan membantu syarikat mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperolehi.
“Ingin saya tegaskan bahawa inisiatif-inisiatif ini tidak mengambil kira penambah-baikan kepada Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi PMKS yang terjejas yang telah saya umumkan baru-baru ini.
“Jelas sekali, Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia dan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia mencerminkan prinsip Keluarga Malaysia di mana “tiada yang dipinggirkan”, bagai berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, bersukat sama paras, bertimbang sama berat,” kata beliau.