Dr Mahathir Bukan Nak Buang Penjawat Awam Esok, Tapi Pada Masa Akan Datang – Muhyiddin

HULU LANGAT – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bermaksud pengurangan bilangan penjawat awam perlu dilakukan dengan segera, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, Dr Mahathir sebaliknya mahukan perkara itu dikaji dan dilaksanakan pada masa akan datang, dalam usaha mengecilkan jumlah bilangan penjawat awam yang kini mencecah 1.7 juta orang.

Muhyiddin berkata, beliau sendiri tidak akan bersetuju sekiranya perkara itu mahu dilakukan secara tergesa-gesa.

“Saya fikir penjawat awam bijak. Saya kira elok kita semua baca (laporan media) itu secara teliti. Perdana Menteri tak kata kurangkan begitu, kerana dia ada jelaskan mungkin ada anjakan baru, perubahan, proses industrialisasi, kena baca dalam konteks yang lebih luas.

“Saya sendiri tak setuju kalau dia nak kurangkan hari ini kerana pegawai kerajaan masih penting. Jadi fasa itu masih panjang,” katanya kepada sidang media di Bilik Gerakan Utama DUN Semenyih Pakatan Harapan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir bahawa jumlah penjawat awam perlu dikurangkan.

Ditanya sama ada kenyataan itu akan mempengaruhi sentimen pengundi di DUN Semenyih, Muhyiddin berkata, beliau percaya mereka tidak akan terpengaruh dengan tindakan sesetengah pihak yang mempolitikkan perkara itu. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.