Suspek Dera Amah, Bayi Didakwa Esok

Tiga suspek membabitkan dua kes dera sehingga menyebabkan kematian pembantu rumah Indonesia dan bayi berusia 46 hari di Bukit Mertajam minggu lepas, akan didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata polis telah mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara di Putrajaya hari ini untuk mendakwa suspek yang terlibat dalam dua kes itu.

“Kami telah menyerahkan kertas siasatan dua kes itu kepada Pejabat Peguam Negara hari ini dan selepas perbincangan, mereka (Pejabat Peguam Negara) mengarahkan polis untuk mendakwa mereka yang terlibat dalam kejadian itu esok.

“Dua wanita akan didakwa berhubung kes pembantu rumah manakala seorang lelaki akan didakwa berhubung kes dera bayi,” katanya, di Bukit Mertajam hari ini.

Dalam kes melibatkan pembantu rumah rakyat Indonesia, Adelina Lisio, 28, yang mengalami kecederaan parah termasuk luka dan lebam pada badan, mati ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam pada 4.45 petang 11 Feb lepas.

Adelina ditemui kira-kira 8 malam 10 Feb lepas, selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki yang juga pembantu kepada Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Lim dan menahan sepasang adik-beradik sebelum menahan ibu mereka iaitu majikan mangsa bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian pada Khamis lalu pula, seorang bayi Nurul Ain Umairah Muhammad Firdaus, berusia 46 hari, meninggal dunia kira-kira 10.45 pagi ketika dalam perjalanan ke Hospital Seberang Jaya.

Berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas mayatnya, bayi itu meninggal dunia akibat pendarahan di luar otak selain terdapat banyak kecederaan lebam, luka dan calar di badan.

​Berikutan itu, polis menahan sepasang suami isteri yang merupakan ibu bapa bayi berkenaan dan mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Nik Ros Azhan berkata bagi kes dera membabitkan pembantu rumah, wanita berusia 60 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh manakala anak perempuan berusia 36 tahun akan didakwa mengikut Akta Imigresen kerana memberi perlindungan kepada rakyat asing.

Bagi kes dera Nurul Ain Umairah, beliau berkata bapa bayi itu yang berusia 22 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori akan didakwa menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala ibunya berumur 26 tahun dibebaskan dengan jaminan polis serta dijadikan saksi pendakwaan. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.