Sedia Sahut Cabaran Pulih Imej TRW

KOTA BHARU – Pemangku Ketua Jurulatih Kelantan Yusri Che Lah tidak tertekan dengan tanggungjawab yang diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengendalikan skuad The Red Warriors (TRW) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia selepas Ketua Jurulatih Sathit Bensoh digugurkan minggu lepas.

Yusri yang sebelum ini penolong jurulatih berkata pelantikan itu bukan bebanan sebaliknya cabaran kepada beliau untuk mengembalikan prestasi pasukan ke tahap yang baik selepas keputusan tiga perlawanan sebelum ini tidak memuaskan.

“Ujian pertama saya adalah bermain di halaman sendiri (Stadium Sultan Muhammad lV) menentang Perak pada saingan Liga Super pada Sabtu ini, oleh itu pelbagai perancangan perlu saya lakukan bagi memperolehi keputusan yang positif pada perlawanan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini KAFA telah mengambil keputusan drastik mengugurkan ketua jurulatih import berkenaan selepas Kelantan sekadar memperoleh satu mata pada tiga perlawanan Liga Super sehingga meletakkan pasukan itu pada kedudukan tercorot liga.

Yusri berkata beliau akan memastikan para pemain dapat bermain sebaik mungkin untuk meraih mata penuh di gelanggang sendiri, lapor Kosmo

Yusri yang tidak merancang untuk melakukan rombakan barisan pemainnya, berharap dapat melakukan persiapan yang terbaik untuk menentang pasukan Perak.

“Kemasukan pemain import dari Lubnan, Mohammed Ghaddar memberikan nilai tambah kepada Kelantan terutama barisan penyerang yang mungkin digandingkan bersama pemain import dari Brazil Bruno Lopes.

“Ghaddar mempunyai keistimewaan, beliau bijak menggunakan peluang untuk menjaringkan gol malah bijak mencipta peluang untuk rakannya menjaringkan gol,” katanya.

Katanya pemain harus meningkatkan mutu permainan bagi mengembalikan keyakinan penyokong untuk terus memberikan sokongan kepada pasukan pada setiap perlawanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.