Pembantu Pegawai Teknik TM Didakwa Palsukan Dokumen RM4.7 Juta

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pembantu pegawai teknik di Telekom Malaysia Berhad (TM) dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 54 pertuduhan memalsukan dokumen Maintenance Order (MO) berjumlah RM4.7 juta, tahun lalu.

Mohd. Faizal Abdul Halim, 36, yang kini bekerja sebagai peniaga mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga 54, dia didakwa memperdayakan prinsipalnya mengenai kepentingan dokumen yang mengandungi butir-butir palsu iaitu sebenarnya tidak ada kerja-kerja kerosakan (breakdown) berlaku di kawasan MO tersebut bagi mengelirukan prinsipalnya.

Mohd. Faizal didakwa melakukan perbuatan itu melalui prinsipalnya, Penolong Pengurus TM, Mohd. Taufik Ali dan tiga individu lain Mohd. Salleh Isthnin, Mohd. Huzaimi Hassan dan Ruzanna Redhuan.

Mohd. Faizal didakwa melakukan perbuatan itu di Telekom Malaysia Logistik, Cheras di sini antara Januari 2016 hingga Mac 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, S. Thangavelu manakala tertuduh diwakili peguam K. F. Wong.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin daripada ahli keluarganya berserta syarat tambahan iaitu pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di SPRM setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Mac ini untuk serahan dokumen. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.