Fattah Suami Manja – Fazura

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nur Fazura Sharifuddin, pernah berasa ragu-ragu dengan perkahwinan kerana bimbang andai lelaki ditakdirkan menjadi suaminya seorang yang kuat mengongkong.

Justeru, daripada menghabiskan separuh daripada usianya bersama lelaki yang salah, Fazura lebih rela hidup membujang.

Biarpun ramai yang mengatakan dirinya rugi kerana tidak berkahwin awal, pelakon yang mula dikenali menerusi filem Bicara Hati ini tidak ambil kisah kerana dia yakin dengan keputusannya.

Bagaimanapun, semua perasaan gusar dan bimbang itu hilang, manakala pandangannya terhadap percintaan serta perkahwinan juga berubah apabila dirinya sah menjadi isteri kepada pelakon, Fattah Amin.

Selepas tiga bulan mahligai cinta mereka terbina, Fazura mengakui lelaki terbabit ialah suami terbaik buat dirinya.

“Kalau saya cakap nanti, orang kata saya mengada-ngada pula, tetapi Fattah sememangnya seorang suami yang baik dan sangat memahami. Dia tidak pernah memberikan sebarang tekanan kepada saya, apatah lagi mengongkong.

“Sebelum ini, memang saya takut untuk berumah tangga kerana bimbang akan dapat suami yang suka mengawal gerak-geri dan mengganggu kerjaya saya. Memang saya trauma dengan lelaki yang suka mengarah dan menetapkan dengan siapa saya boleh berkawan atau keluar.

“Ternyata Fattah tidak bersikap sedemikian. Dia memberi kebebasan sepenuhnya, selain membenarkan saya bekerja. Kalaulah saya tahu sikapnya itu lebih awal, sudah lama saya berkahwin dengannya,” jawab Fazura ketika ditanya fasa baharu alam rumah tangga dilaluinya ketika ini.

Enam bulan serius menjalinkan percintaan sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga, pelakon J Revolusi ini berkata, mereka masih dalam peringkat mengenali hati budi dan belajar menerima kekurangan serta kelebihan masing-masing.

“Kami bercinta selepas berkahwin. Apabila sudah menjadi isterinya, ada juga perangainya yang saya baru tahu. Antaranya, dia seorang yang manja. Kadang-kadang, apabila tiba masa nak tidur, dia akan suruh potongkan kuku. Jadi, kenalah bangun.

“Fattah juga seorang yang sabar dan pemaaf. Sepanjang tempoh perkahwinan kami, macam-macam perkara berlaku kepadanya, seperti dikecewakan mereka yang dianggap sebagai kawan rapat. Bagaimanapun, dia tidak pernah berkata buruk pasal mereka,” cerita aktres berusia 34 tahun ini.

Menyifatkan mereka sebagai pasangan saling melengkapi, Fazura memberitahu, Fattah juga banyak membawa perubahan dalam kehidupannya.

“Saya kini lebih tenang dan terasa lengkap dengan kehadirannya. Ada yang menjaga dan apabila ditimpa masalah, adalah juga tempat untuk mengadu. Kalau bergaduh pun, selalunya disebabkan benda remeh.

“Walaupun sebelum ini ada antara kawan rapat yang skeptikal dengan perhubungan kami, tetapi kini mereka sudah dapat menerimanya selepas mengenali diri Fattah sebenar,” ujar Fazura ketika ditemui pada majlis tayangan telefilem, Janji Zehan, di ibu kota.

Fazura dan Fattah selamat bernikah pada 27 November lalu dalam majlis tertutup di sebuah hotel terkemuka di Kuala lumpur. Mereka akan mengadakan majlis resepsi di sebuah hotel terkemuka pada 25 Februari ini.

Dalam perkembangan lain, pelakon yang juga seorang penyanyi ini baru saja selesai menjalani penggambaran filem terbaru berjudul The Legend Of Pontianak.

Berkongsi pengalaman, Fazura mengaku melihat kelibat pontianak ketika berada di set penggambaran di Hulu Langat, Selangor.

“Ketika kejadian itu, saya sedang makan bersama kru lain. Sambil makan, saya pun membuka cerita mengenai kejadian makhluk terbabit datang ke lokasi penggambaran. Rupa-rupanya, tidak jauh dari kawasan tempat kami bersembang itu, pontianak yang dimaksudkan sedang memerhatikan saya.

“Selepas dimaklumkan seorang kru, saya menoleh ke belakang. Memang saya nampak seorang wanita berpakaian kebaya putih, sama dengan apa yang saya pakai ketika itu. Bersama rambut panjang yang dilepaskan ke depan, dia memerhatikan saya, seperti diberitahu oleh kru itu,” cerita Fazura.

Sebelum ini, aktor yang terbabit dalam filem sama, Remy Ishak turut mendedahkan perkara yang sama apabila diganggu makhluk menyeramkan ketika di lokasi.

“Itulah pengalaman saya melihat hantu. Memang menakutkan. Ketika kami berlakon, memang ada nampak kelibatnya, tetapi saya buat tak tahu saja,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.